Translate

Maaf kepada sesiapa yang menunggu

Bukanlah sengaja untuk saya melengahkan entri penulisan dalam blog ini, tetapi seperti yang apa yang saya komen dalam blog Mulhid Melayu, saya pada satu detik harus melangkah kebelakang sejenak untuk menimbang semula tujuan saya menulis dalam blog ini. Saya memang tidak bercadang untuk menjadi begitu aktif (tidak mahu memaksa diri juga, kerana pada pendapat saya, banyak benda lebih menarik lagi dalam hidup berbanding dengan hujah kepercayaan dan tidak-kepercayaan). Dan seperti kata Mulhid Melayu, "kita berada pada satu zaman di mana penerimaan sains itu dah terlalu meluas dan bukti-bukti yang agama itu adalah rekaan manusia itu sudah terlalu banyak bagi membenarkan para pencari kebenaran untuk melihat yang agama itu sebagai sesuatu yang meyakinkan". I couldn't have said it better.

Saya ingin berkongsi satu pertemuan dengan salah seorang rakan saya yang juga seorang Melayu atheist. Bezanya antara kami adalah latar-belakang keluarga. Dia membesar dalam keluarga yang langsung tidak menitik-beratkan hal keagamaan, malah menerima/memahami seandainya anak-anak memilih untuk tidak percaya pada tuhan - dengan syarat, mereka hidup dengan budi pekerti yang baik sesama masyarakat. Saya pula membesar dalam keluarga yang pentingkan hal kewajipan dalam agama Islam.

Dia faham kenapa saya dan seperti kebanyakan teman-teman Melayu atheist lain lebih cenderung untuk merasa hampa dan marah kerana membesar dalam keadaan yang agak terkongkong, berbanding dengannya yang boleh saya katakan terlihat jauh lebih tenang dari sudut personalitinya. Cuma perbezaan kepercayaan berbanding dengan kebanyakan orang Melayu lain mula terlihat apabila dia mula menyuarakan pendapatnya.

Di dalam satu forum awam yang membincangkan tentang isu-isu semasa, teman saya ini pernah bangun untuk mempertahankan seorang teman lain yang menyatakan tentang kebebasan beragama. Tetapi kerana hal tersebut, teman saya mula kehilangan beberapa kawan yang sebelum ini tidak pernah membincangkan tentang hal kepercayaan. Atau mungkin mereka tidak mahu berkawan dengan seorang yang secara terang-terangan mengatakan yang semua manusia punya hak untuk memilih agama masing-masing. Manakan tidak, kita begitu suka apabila ada penganut agama Buddha, Hindu, Kristian dan sebagainya meninggalkan agama lama mereka untuk masuk Islam tetapi tidak jikalau sebaliknya.

Semenjak dari itu, teman saya ini lebih cenderung untuk meneruskan hidup seperti biasa tanpa menyentuh hal keagamaan secara terbuka, kecuali apabila ada teman-teman yang ingin berbincang secara peribadi dengannya. Pertemuan dengan teman saya ini membuatkan saya lebih yakin yang manusia merupakan spesis yang sebenarnya dengan semula-jadinya bersifat ingin tahu. Cuma kebanyakan kita membesar dengan sifat ingin tahu itu dicantas dengan lebih cepat dari waktu kecil. Tetapi sama ada sifat ingin tahu itu masih kuat atau mahu dibiarkan mati apabila menjejak dewasa adalah atas daya kekuatan individu itu sendiri.

Saya percaya bukti yang ramai lagi masih ingin tahu walaupun sudah dewasa diyakinkan lagi dengan anda yang membaca penulisan saya ini.

Cukup sekadar yang blog yang tidak seberapa ini menjadi salah satu dari jutaan titik penemuan dan persinggahan buat mereka yang mencari jawapan dan ingin tahu.


4 ulasan:

Ken Fareez berkata...

Iya kah, tetapi sebagai orang yang mendapat pencerahan; yakni bukan seorang dogmatis, tidakkah kamu berasa akan tanggungjawab dalam menolong negara yang kian musnah akibat kejumudan majoriti rakyatnya. Tak mahukan kamu melihat negara yang lebih beretika dan pluralistik?

Ana N. Thous berkata...

Ya, pastinya saya rasa bertanggungjawab, bukan kerana kesetiaan kepada negara, tetapi sebagai manusia (yang terlebih sensitif). Dan saya juga mahu lihat Malaysia menjadi negara yang lebih beretika dan pluralistik (bukan sahaja Malaysia, negara-negara lain juga). Saya pasti saudara juga berasa sedemikian kerana soalan tersebut boleh diajukan. Saya gembira yang individu-individu seperti saudara wujud di luar sana.

Maaf jika penulisan dalam blog ini menampakkan seperti saya tidak berasa sedemikian. Jika saudara tidak keberatan, bolehkah ulas dengan lebih lanjut kerana mungkin saya yang salah-faham dan yang menimbulkan salah-faham tersebut (menulis sebenarnya bukan forte/kelebihan saya). Bagaimanapun, soalan saudara adalah bagus sekali. Terima kasih :)

Tanpa Nama berkata...

Kenapa tiada entry baru, rugi rasanya

Ana N. Thous berkata...

"Kenapa tiada entry baru, rugi rasanya"

Kepada Awanama,

Apa khabar sejak dua tahun lalu? Adakah PKP buatkan hidup anda lebih mudah atau susah?

Ana disini baik-baik sahaja dan tiada perubahan yang banyak selain umur meningkat dan lebih sibuk dengan fokus kerja seharian. Kalau Awanama ingin lihat pendapat Ana yang terbaru, Ana lebih banyak komen di Reddit, dalam kumpulan r/ExMuslims. Tapi malangnya semua penulisan adalah dalam Bahasa Inggeris kerana ramai warga internasional. Ana tulis di sana di bawah nama u/ananthous. Itupun Ana tidak berapa aktif, cuma singgah sekali-sekala untuk beri pendapat.

Mungkin suatu hari nanti Ana akan tulis lagi disini, dengan pandangan versi Hidup Pertengahan Hayat/Umur (Mid Life views). Tapi kebarangkalian adalah rendah dan Ana tidak mahu buat Awanama menunggu, jadi Ana cuma dapat harapkan yang semuanya baik belaka dalam hidup Awanama sekarang.

Kembali ke Atas