Translate

Situasi Ironis Dalam Kamar Istirehat


Tatkala kami sekeluarga sedang berehat di dalam bilik hostel yang berkatil enam ini (tiga set katil double-decker), mak ayah saya sedang bersemuka dengan iPad mereka dan menonton video tentang saudara muallaf dari Malaysia yang baru manganuti Islam, saya pula sedang membaca tentang seorang ex-muslim dari Mesir yang menceritakan sebab-sebab beliau meninggalkan agama lamanya.

Saya sekarang berada di negara yang lebih dari 90% restoran-restoran disini menjual makanan yang di masak sekali dengan daging tidak halal dan menjual arak di premis mereka. Nasib saya agak baik sedikit kerana mak dan ayah tidak terlampau was-was pada bab makanan apabila melancong ke luar negara. Asalkan makanan yang dihidangkan adalah vegetarian atau makanan laut, mereka sudah lega. Tutup mata sebelah walaupun ada minuman beralkohol dalam peti sejuk restoran tradisional yang kami makan petang tadi. Dapat jugalah merasa makanan asli negara dan budaya orang lain, walaupun makanan paling special negara ini adalah daging babi grill dengan nasi beserta arak yang dihasilkan dari beras.

Pada satu masa, saya dan salah seorang adik saya sudah penat makan makanan vegetarian atau makanan laut sahaja sejak lebih seminggu di sini, maka kami berdua keluar makan di restoran yang menyediakan set hidangan lauk daging lembu, nasi serta sayuran tempatan. Tiba-tiba adik saya meluahkan perasaan hampanya kerana tidak dapat menikmati hidangan makanan yang lazat ini dengan mak ayah. Dia berkata yang dia pernah membaca satu artikel mengenai kenapa daging babi adalah haram dalam agama, yang banyak berkaitan dengan cara hidup dan tahap kebersihan orang Arab pada zaman nabi. Katanya dalam konteks hari ini, cara peternakan babi masa kini adalah lebih kurang sama sahaja tahap kebersihannya dengan cara peternakan lembu yang disembelih secara halal.

Saya dalam nada separuh bergurau berkata yang saya tidak kisah pun kalau dia makan daging babi sekalipun. Kemudian kami sempat berbincang serba sedikit tentang soal aurat (kami berdua tidak memakai tudung dan pernah dipaksa sewaktu remaja), ganjaran 72 anak dara di syurga dalam Islam, kontradiksi dalam quran, kasih-sayang tuhan kepada manusia serta azab neraka kepada teman-teman bukan muslim kami.

Tidak mungkin saya dapat terus mengatakan kepada adik saya yang saya sudah murtad. Takut nanti bila bergaduh akan keluar pula topik ini secara tiba-tiba. Saya sangat kenal dengan sikap adik saya yang agak beremosi ini. Saya cukup sedar yang setiap individu mempunyai pengalaman tersendiri dalam mencari kebenaran personal masing-masing. Sudahlah setakat dia tahu pendapat saya tentang beberapa perkara yang dibincangkan secara spontan buat masa ini dan yang saya sudah tidak lagi menunaikan solat 5 waktu.

Tidak sabar untuk pulang ke tanah air bulan hadapan dan menikmati nasi lemak dan teh ais semula.

2 ulasan:

Awaken Malay berkata...

Agama menghambat kita supaya menahan nafsu dari pelbagai nikmat di dunia semata-mata untuk memuaskan nafsu yg sama di akhirat nanti. Lucu tapi amat menyedihkan kerana ia diyakini oleh majoriti muslim.

PS: "Daging babi grill dengan nasi beserta arak yang dihasilkan dari beras".. That sound amazing :D

Ana N. Thous berkata...

Memang rugi kalau tak dapat makan :9

Kembali ke Atas