Translate

Memaparkan catatan dengan label analisa pendapat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label analisa pendapat. Papar semua catatan

Bulan Kesedaran Kewujudan Bekas Muslim 2024

Sempena "Bulan Kesedaran Kewujudan Bekas Muslim", saya akan salin dan tampal semula ulasan saya dari laman forum Reddit. Saya agak kerap menulis di sana sebab ada kelebihan komunikasi dua hala dengan para Muslim dan Bukan/Bekas Muslim.

Saya juga rasa yang penulisan ini boleh menjadi jawapan saya secara tidak langsung kepada nahas yang berlaku di Magdeburg, Jerman baru-baru ini. Banyak teori di Internet tentang pembunuh yang berasal dari negara Saudi itu, tetapi yang saya pasti, jika benar dia seorang ateis, "ateism" tidak ada buku pegangan yang menggalakkan seseorang itu membunuh atas nama "ketidakpercayaan kepada tuhan". Pembunuh yang dikatakan ateis boleh rata-rata dikatakan ada penyakit mental dan emosi terganggu yang belum sempat atau dapat dipulihkan. Sama juga seperti pembunuh yang beragama Islam atau yang beragama lain. Cuma kebanyakan agama ada motif yang lebih jelas kerana penganutnya digalakkan untuk membenci orang yang tidak seagama, dan ia memberi motif kepada para extremis melupakan moraliti kemanusiaan untuk membunuh orang lain. 

Cuma tak ramai penganut agama berani untuk katakan yang pembunuh seagama mereka itu ikut buku agama mereka bulat-bulat. Mereka cuma kata "itu bukan pengikut agama kami yang sebenar". Nah saya beri jawapan yang lebih tepat, mereka sudah ada penyakit mental dan emosi terganggu yang belum sempat atau dapat dipulihkan, tapi buku agama mereka buatkan niat pembunuhan mereka kelihatan baik di sisi agama. Padahal kalau seorang ateis membunuh, ateis lain akan kecam pembunuh ateis itu juga, sama seperti pembunuh-pembunuh yang lain.

Kami takkan kata "dia bukan ateis sebenar" sebab jika kepercayaan pada Tuhan masih membuat segelintir orang beragama untuk membunuh, maka tidak percayakan tuhan juga tidak buatkan seseorang itu membunuh. Ianya semua bermula dari jatidiri moraliti seseorang yang tidak kukuh dan tidak berperikemanusian, bercampur aduk dengan motif pembunuhan, faktor psikologi dan kehidupan sosial seseorang yang negatif, serta tiada perasaan kesefahaman atau empati sesama manusia.

Berikut adalah sebahagian dari ulasan dari seorang Muslim Malaysia di Reddit yang mangatakan seorang ateis Melayu tidak patut tinggalkan agama Islam yang dipaksa dari lahir kerana untuk Bekas Muslim itu, dia pernah dibuli teruk oleh guru-guru dan pelajar Muslim lain waktu di sekolah menengahnya.

Teman Muslim Malaysia itu lupa yang Bekas Muslim tinggalkan Islam kerana pelbagai sebab berbeza. Sama seperti ramai orang beragama Islam yang pelbagai fahaman, asal-usul kepercayaan dan latar belakang.

Satu manusia tidak melambangkan agama, bangsa. Banyak lagi orang Muslim yang baik diluar sana. Jangan menilai satu agama dan bangsa dengan rakan sekolah kamu je.
Kalau ayat di atas memang dipegang oleh orang Muslim, ini juga boleh diletakkan pada semua kaum yang tidak disukai dalam al-Quran, contoh Yahudi dan golongan yang tidak percayakan Allah.

Ada Yahudi jahat, ada Yahudi baik, ada ateis jahat, ada ateis yang baik. Saya pun rasa yang sama tentang orang Muslim. Ada Muslim jahat, ada Muslim baik. Ni belum lagi bangsa bukan Islam yang berbilang agama kat Malaysia ni. Yang saya rasa hampa, agama juga buatkan sesetengah orang Muslim yang baik membenci tanpa sebab, hanya kerana Quran suruh. Walaupun ada yang tak pernah jumpa pun orang Yahudi dalam hidupnya. Padahal kalau Allah wujud, bukankah dia juga yang cipta orang Yahudi? Dia juga yang cipta babi dan anjing?

Jadi bagi saya, jangan menilai suatu kaum atau bangsa hanya kerana buku zaman dahulu yang berbeza dengan zaman sekarang, dan juga buku yang dikhaskan untuk rakyat Arab sahaja. Yang cipta al-Quran tak tau pun ada buah durian, ada negara cuaca yang lelaki dan wanita panas berpeluh belemoih kalau pakai tudung atau topi kain macam Pak Arab tu sebab depa nak elak habuk pasir di negara panas kering, bukan di negara tropika, dan dalam Quran taktau ada negara matahari tak terbenam bila tiba suatu musim tiap tahun dan payah nak tau bila nak berbuka puasa, apatah lagi solat 5 waktu.

Dalam Quran tu pun tak kenal agama bukan Islam yang wujud kat Malaysia ni, apatah lagi kat negara Asia yang besaq ni. Quran cuma tau agama bukan Islam dekat dengan negara Arab je. Agama Hindu ramai orang Melayu dulu amalkan sebelum Islam sampai dengan bot. Kalau tak, takdelah kita ada adat bersanding berinai dulu-dulu dan bahasa Melayu yang banyak pakai Sanskrit ("Agama" juga adalah dari bahasa Sanskrit). Kalau Tanah Melayu terkena dengan bot Sepanyol macam kat Filipina, dah lama kita jadi negara Kristian tau.

Jadi, Islam di Malaysia ni sama je macam yang menjajah di Filipina tu. Bezanya Islam masuk pegang minda Sultan-sultan dahulu, baru menjajah kuasa dan undang-undang. Kemudian, penjajah British di Malaya pun tiru taktik sama. Ada penjajah lain pula menjajah ekonomi dulu, lepas tu baru jajah undang-undang. Ni belum cerita lagi asal-usul agama-agama besar dunia tersebar luas banyak bermula dengan pertumpahan darah. Kita nak pilih apa, akhirnya, terpulanglah atas pilihan sendiri. Dah ada buku dan Internet kan la ni. Nak jadi Islam, Islamlah engkau. Nak jadi agama lain, jadilah engkau.

Nak jadi ateis, rasanya tu bukan pilihan. Kebanyakan orang ateis dah cari bermacam-macam agama untuk dibandingkan dengan agama yang mereka dipaksa dari lahir, tapi depa cuma nampak tuhan tu tak wujud. Sains pun makin maju dan beri jawapan yang lebih meyakinkan dan bersesuaian dengan perkembangan zaman yang nak masuk 2025 tahun selepas kelahiran nabi Isa ni. Islam pula baru nak cecah 1446 tahun dan dinosaur dah pupus berjuta-juta tahun dulu dan la ni minyak sisa bangkai depa pun dah makin berkurangan sebab manusia moden suka pakai sampai kontang.

"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)."

Penulisan dari beberapa Bekas-bekas Muslim lain tentang mengapa mereka tinggalkan Islam dan sejak bila boleh dibaca disini.

Notis: Susunan dan tarikh sebenar penulisan dalam blog ini adalah tidak tepat, terbalik dan sedikit janggal, dengan pos terbaru di halaman paling depan, terus sejurus itu diikuti oleh pos pertama blog ini. Pos di penghujung blog pula merupakan penulisan kedua terakhir Ana.

Ini kerana Ana ingin pengunjung baru blog dapat membaca pos terawal Ana di halaman pertama tanpa perlu pergi ke belakang. Untuk pembaca setia pula, penulisan-penulisan terbaru boleh didapati disini. Maaf atas kekeliruan dan kesulitan. 

Bahasa kadang-kala menjadi punca perpecahan dan penyatuan.

 

Antara punca perbalahan topik ateism vs. agama (malah sesama kumpulan mereka sendiri) adalah apabila label-label mengongkong digunakan. Contohnya ateis, agnostik, antiteis dan lain-lain. Saya bukan seorang yang sangat tertib dalam bidang bahasa, jadi saya lebih senang untuk tidak memberatkan hal ini. Tetapi hari ini saya akan cuba memahami serba-sedikit kenapa ianya sering menjadi isu yang agak kerap timbul terutamanya dalam forum-forum online.

Sesetangah manusia berasa aman dengan benda-benda yang dikategorikan dalam kotaknya masing-masing. Pada pendapat saya, ateism, agnostism, semua ini satu dan sama sahaja, tidak perlu berbalah seperti orang beragama yang sesetengahnya pecah-belah kerana kategori atau label mereka berbeza walaupun menyembah tuhan yang sama, contohnya Sunni dan Syiah. Jadi orang-orang yang tidak menyembah apa-apa tuhan tidak perlu berpecah hanya kerana semantik bahasa.

Disini saya akan cuba telitikan:

Ateism adalah berlawanan dengan teism. Kedua-dua terma ini berkaitan dengan soalan "Adakah anda percaya pada kewujudan tuhan?". Jadi ini adalah soalan teologi. Jika anda tak percaya, anda adalah seorang ateis. Kalau anda percaya, sedikit atau banyak, anda adalah seorang teist. Disinilah selalu terletaknya label Muslim extremist, Muslim moderate atau yang sering saya lihat walau liberal bagaimana sekalipun sesetengah rakan saya, siap minum arak, melakukan perkara-perkara yang sepatutnya haram dalam Islam, mereka tidak akan mengatakan mereka seorang ateis. Mereka masih lagi percaya pada tuhan.

Agnostik pula beza isunya, dimana apabila ateism adalah berkaitan dengan isu kepercayaan, agnostik pula berkaitan dengan isu pengetahuan. Jadi terma agnostik bermain dengan soalan "Adakah anda tahu tentang kewujudan tuhan?. Tidak mengetahui membuatkan anda seorang agnostik. Kalau menurut anda, anda tahu kewujudan tuhan, anda adalah seorang gnostik. Bagaimana pula jika menurut anda, anda tahu tentang ketidakwujudan tuhan? Soalan itu adalah tidak logik kerana anda tidak akan tahu tentang sesuatu yang tidak wujud. Jadi ini akan berbalik semula kepada soalan "Adakah anda percaya pada kewujudan tuhan?" di atas tadi.

Kadang-kala ada yang tersilap dalam mengatakan yang dengan melabelkan diri sebagai agnostik, ianya bermaksud berada di atas pagar di antara ateism dan teism kerana mereka masih belum lagi mendalami soalan-soalan tersebut. Lagi menghampakan apabila berbicara tentang kepercayaan, sesetengah orang lebih senang "menyorok" di bawah label agnostik dan menghabiskan hujah mereka di situ. Tidak ada salahnya tidak mengetahui, malah kepercayaan adalah soal yang berbeza dari pengetahuan. Adakah seseorang yang percaya pada tuhannya tahu segala-galanya tentang tuhannya? Tidak semestinya. Malah, seorang saintis yang bijak sering mengatakan yang mereka tidak tahu apabila mereka benar-benar tidak tahu, dan bukannya dengan menjawab "Hanya tuhan saja yang tahu".

Ada juga mereka yang melabelkan diri mereka agnostik kerana berasa lebih selesa berada di antara para ateis yang "dogmatik" dan para teist yang kerap berbalah di antara kedua-dua mereka. Mereka merasakan yang melabelkan diri mereka sebagai agnostik adalah lebih matang dan lebih rasional. Tetapi ini berlaku kerana salah-faham tentang maksud agnostism itu sendiri. Ianya bukan jalan tengah diantara ateism dan teism kerana ateism dan agnostism bermain dengan soalan yang berbeza sekali.

Jadi pada pendapat saya, agnostism dan ateism bukanlah saling ekslusif di antara sesama mereka. Anda boleh melabelkan diri anda kedua-duanya sekali pada masa yang sama.

Seorang antiteis pula merupakan seseorang yang beranggapan yang para teist adalah seorang yang tidak rasional. Antiteis melihat kepercayaan pada tuhan sebagai satu kepercayaan yang perlu dihapuskan. Dalam kata lain, antiteism menolak idea teism dan merasakan yang hidup masyarakat sekelompok adalah lebih baik tanpa kepercayaan terhadap sebarang tuhan.

Maka disini saya cuba simpulkan yang ateism adalah berkaitan dengan isu kepercayaan, agnostism dengan isu pengetahuan dan antiteism berkaitan dengan tanggapan ateis terhadap sistem agama. Jika ada sesiapa yang pakar di dalam bidang bahasa ingin membetulkan apa-apa kesalahan dalam huraian penulisan saya, sila ambil galah, tolong tunjukkan ;) Saya juga "budak" yang masih dan sentiasa belajar.

Dan kalau label itu penting untuk anda (malah tidak salah untuk melabelkan kerana saya anggap ianya sikap keterbiasaan sesetengah manusia), bolehlah anda sarungkan saya dengan label ateis, ateis pasif, agnostik, humanist, sekularis atau freethinker.

Ada orang beragama yang baik, ada orang beragama yang jahat. Ada ateis yang baik, ada ateis yang jahat. Tiada siapa yang sempurna. (Siapa yang nak paksa saya menerima idea yang kerana manusia tak sempurnalah = tuhan wujud, saya akan abaikan dan padam komen-komen anda kerana saya sudah katakan yang saya tidak percaya akan kewujudan tuhan. Suka hati sayalah untuk tidak percaya pada sebarang tuhan, seperti suka hati anda jugalah untuk percaya pada tuhan).

Yang penting pada pendapat saya, kita sama-sama berusaha untuk jadi manusia yang baik, jujur dan cuba sebaik mungkin untuk memusnahkan idea yang tidak boleh digunakan lagi, contohnya sikap benci-membenci kerana perbezaan pendapat atau agama, menghukum golongan LGBT yang tidak menganggu hidup atau ibadat orang lain, sikap memukul, menindas wanita, kanak-kanak dan bermacam-macam lagi.

Benda lama yang tidak boleh pakai, kita buang. Atau kita bagi pada mereka yang masih lagi mahu pakai benda lama tersebut.

Terpulanglah :)

Masih Tersenyum dan Bahagia Disini

Salam persahabatan,

Ana ingin menulis disini sekadar untuk memberitahu khabar yang saya sihat, masih seorang ateis dan sejak PKP lalu, sudah berumah-tangga dengan suami yang juga sudah lama tidak percayakan kewujudan Tuhan.

Cuma bezanya antara kami adalah dia tidak dilahirkan sebagai seorang Muslim. Maka sebelum akad nikah dibuat, dia terpaksa memeluk agama Islam semata-mata untuk dapat berkahwin dengan Ana. Terpaksa akur mengikut undang-undang pernikahan cara Islam di Malaysia. Lupakan sajalah ayat "tiada paksaan dalam agama Islam".

Untuk majlis perkahwinan, kami cuma buat yang paling mudah dan asas. Pergi kursus perkahwinan, dapatkan sijil dan isi kesemua borang yang diperlukan online. Kemudian, pergi ke Klinik Kesihatan untuk ujian HIV. Setelah dapat keputusan dari doktor, bermulalah proses kami berulang-alik ke Pejabat Agama untuk urusan mengisi borang-borang lain sebelum pernikahan dan juga untuk dapatkan sijil suami memeluk Islam.

Memandangkan suami seorang anak yatim yang tiada adik-beradik, ia banyak memudahkan proses perkahwinan kami. Tidak berlebihan dengan adat-istiadat yang membazirkan wang atau makanan, dan kenduri pula cuma sebuah tahlil sederhana untuk buatkan Ayah dan Mak Ana gembira raikan bersama kenalan masjid mereka.

Sudah lama Ana tidak mengikut trend atau khabar baru dari kumpulan ex-muslim Malaysia atau luar negara. Pada satu tahap, Ana rasakan ada terlampau banyak perasaan benci yang berpanjangan antara kumpulan ex-muslim dan Muslim (serta agama lain). 

Ana faham mengapa ini berlaku, tetapi Ana tidak bencikan Muslim dan tidak menafikan hak mereka untuk memilih jalan beragama dalam corak bagaimanapun (kecuali yang berunsur kekejaman dan kebencian). Sama seperti Ana sayangkan ahli keluarga Ana yang rata-rata masih beragama. Cuma ada yang lebih alim, rajin solat dan yang perempuan, memakai tudung bertutup rapi, dan ada pula antara adik-beradik yang tidak "ambil pot" dalam hal agama dan dapat lihat yang mereka sering elak waktu sembahyang dan jarang menjemput ahli keluarga lain bertandang ke rumah mereka, walaupun mereka juga sudah berumah tangga sendiri.

Musim Olimpik: Malaysia antara 12 Negara Teratas Untuk Apa?

Alahai, elok pulak lagu cover John Lennon "Imagine" berkumandang di radio. Memang tak sengaja nak bagi air mata keluar lebih waktu datang bulan ni nampaknya. Ianya dimainkan dalam versi bahasa Asia Timur di mana dalam liriknya asyik mengulangi:

"Anda tidak keseorangan"

"Jangan Menyendiri"

"Jangan Lupa Impian Anda"

Jadi sebelum terlupa, baik Ana tulis dahulu niat asal kenapa saya ingin menulis hari ni.

Semalam waktu saya membelek video-video online sahabat-sahabat Bekas Muslim dari negara Barat, bertembung pula dengan laman Youtube Infidel Noodle. Pernah dengar namanya sebelum ini, tapi tak sangka yang dia baru mula keluar media sosial sewaktu pandemik dan selama ini ingatkan dia sudah lama keluarkan konten.

Dalam tengok satu dua video, videonya di bawah ni buat Ana terkeluar air mata sekali lagi. Kenapa? 

Kalau belum tengok video di atas, cuba tengok peta yang dikongsi oleh Infidel Noodle di bawah.

12 negara sahaja antara beratus negara dalam senarai Olimpik yang akan bunuh Bekas Muslim atau ex-muslim. 12 tak banyak tahu? Boleh dikira dengan kesemua jari di kedua-dua belah tangan dan tambah dua lagi ibu jari besar di kaki. Adakah ini bukti Islam adalah agama yang aman, tetapi sanggup membunuh atas alasan agama? Adakah iman para Muslim sangat nipis dan kekuatan Allah sangat lemah hingga jika ada Muslim yang ingin keluar, jawapannya adalah hukum bunuh dari tangan manusia sendiri? Kenapa tak tunggu sahaja azab neraka jika benar-benar percaya? Atau Allah turunkan sahaja bala di dunia dan tunjuk kuasanya?

Lagi ada hati segelintir para Muslim yang masih bertanya kenapa Ana dan teman-teman Bekas Muslim lain banyak melepaskan rasa sedih atau hampa terhadap apa yang diajar dalam agama Islam. Sekurang-kurangnya, kena ada update macam ajaran Kristian, contohnya. Hapuskan hukuman bunuh-membunuh selepas tahun 2024, berikan hak setimpal untuk wanita dan bubal faraid

Lelaki Muslim yang kuat iman takkan tergoda dengan wanita tidak bertudung, maka perempuan tidak diwajibkan berhijab. Jatidiri lelaki untuk tidak tergoda dengan aurat adalah tangungjawab lelaki sendiri, bukan wanita dan kanak-kanak perempuan yang kena jaga pemakaian. Allah sudah berikan rambut, biarkan ia tumbuh sihat bawah matahari sebelum gugur atau botak di hari tua. Sama seperti rambut lelaki. Biar betul-betul diberi pilihan tanpa disuruh dari kecil. Buang yang keruh, ambil yang jernih.

Kalau saya dan suami mampu untuk hidup di negara bukan Islam, kami akan terus berhijrah sahaja. Kata kat Mak Ayah kami dah nikah semua, izinkan kami hidup di negara luar sana bahagia.

Tapi alangkah malangnya saya dah lama fikir siapa nak jaga Mak Ayah antara adik-beradik saya yang jumlahnya boleh kira satu tangan ni. Takkanlah nak biar seorang dua sahaja adik-beradik yang bantu jagakan Mak Ayah, sedangkan mereka juga ada rumah tangga dan ibu bapa mertua sendiri.

Lama-lama saya rasa mungkin buat masa ini, saya masih boleh bertahan kerana selalu gurau dengan rakan-rakan yang tahu Ana murtad, yang nasib baik Malaysia masih ada rakyat Bukan Muslim. Kalau tak, dah lama jadi macam Iran atau Afghanistan. Nasib baik masih lagi boleh keluar rumah tak bertudung bila Ana bukan di kampung halaman Mak Ayah. 

Nasib baik juga dalam perjalanan saya mencari kebenaran, ada teman-teman yang kenal diri Ana yang sebenar, tanpa perlu berlakon masih percaya pada tuhan. Yang boleh terima yang Ana berkawan akrab dengan teman-teman dari latar belakang LQBTIQ+ dan kenal benar yang saya cuma ingin hidup tanpa ketakutan di tanah air sendiri.

Buat masa ini masih okaylah. Kalau rakan-rakan Bukan Muslim suatu hari nanti sudah kena hidup macam di negeri-negeri yang sudah diimplimentasi undang-undang Syariah sepenuhnya (merenung keadaan di Kelantan dan Terengganu dan negeri-negeri di Semenanjung Utara yang agak jauh dari KL), terpaksalah saya guna wang simpanan hari tua untuk berhijrah ke negara asal suami di Eropah. Harap-harap saya tak perlu gunakannya untuk larikan diri atas sebab kehilangan terus semua hak asasi rakyat dan kebebasan beragama, serta jika terdapatnya hukuman bunuh dilakukan pada mana-mana ateis di Malaysia suatu hari nanti.

Seperti kata salah satu komen saudara Awaken Malay, "Jika dapat pindah ke luar negara lagi baik. Tapi Malaysia pun ok sebenarnya. Darwin mengatakan, bukan organisma yang paling kuat atau paling bijak yang menang pertarungan evolusi, tapi yang paling beradaptasi dengan suasana sekeliling."

"Imagine"

Sebahagian lirik lagu oleh John Lennon, 1971, dalam Bahasa Inggeris.

Imagine there's no heaven
It's easy if you try
No hell below us
Above us only sky
Imagine all the people
Living for today...

Imagine there's no countries
It isn't hard to do
Nothing to kill or die for
And no religion too
Imagine all the people
Living life in peace...

You may say I'm a dreamer
But I'm not the only one
I hope someday you'll join us
And the world will be as one.

Maaf kepada sesiapa yang menunggu

Bukanlah sengaja untuk saya melengahkan entri penulisan dalam blog ini, tetapi seperti yang apa yang saya komen dalam blog Mulhid Melayu, saya pada satu detik harus melangkah kebelakang sejenak untuk menimbang semula tujuan saya menulis dalam blog ini. Saya memang tidak bercadang untuk menjadi begitu aktif (tidak mahu memaksa diri juga, kerana pada pendapat saya, banyak benda lebih menarik lagi dalam hidup berbanding dengan hujah kepercayaan dan tidak-kepercayaan). Dan seperti kata Mulhid Melayu, "kita berada pada satu zaman di mana penerimaan sains itu dah terlalu meluas dan bukti-bukti yang agama itu adalah rekaan manusia itu sudah terlalu banyak bagi membenarkan para pencari kebenaran untuk melihat yang agama itu sebagai sesuatu yang meyakinkan". I couldn't have said it better.

Saya ingin berkongsi satu pertemuan dengan salah seorang rakan saya yang juga seorang Melayu atheist. Bezanya antara kami adalah latar-belakang keluarga. Dia membesar dalam keluarga yang langsung tidak menitik-beratkan hal keagamaan, malah menerima/memahami seandainya anak-anak memilih untuk tidak percaya pada tuhan - dengan syarat, mereka hidup dengan budi pekerti yang baik sesama masyarakat. Saya pula membesar dalam keluarga yang pentingkan hal kewajipan dalam agama Islam.

Dia faham kenapa saya dan seperti kebanyakan teman-teman Melayu atheist lain lebih cenderung untuk merasa hampa dan marah kerana membesar dalam keadaan yang agak terkongkong, berbanding dengannya yang boleh saya katakan terlihat jauh lebih tenang dari sudut personalitinya. Cuma perbezaan kepercayaan berbanding dengan kebanyakan orang Melayu lain mula terlihat apabila dia mula menyuarakan pendapatnya.

Di dalam satu forum awam yang membincangkan tentang isu-isu semasa, teman saya ini pernah bangun untuk mempertahankan seorang teman lain yang menyatakan tentang kebebasan beragama. Tetapi kerana hal tersebut, teman saya mula kehilangan beberapa kawan yang sebelum ini tidak pernah membincangkan tentang hal kepercayaan. Atau mungkin mereka tidak mahu berkawan dengan seorang yang secara terang-terangan mengatakan yang semua manusia punya hak untuk memilih agama masing-masing. Manakan tidak, kita begitu suka apabila ada penganut agama Buddha, Hindu, Kristian dan sebagainya meninggalkan agama lama mereka untuk masuk Islam tetapi tidak jikalau sebaliknya.

Semenjak dari itu, teman saya ini lebih cenderung untuk meneruskan hidup seperti biasa tanpa menyentuh hal keagamaan secara terbuka, kecuali apabila ada teman-teman yang ingin berbincang secara peribadi dengannya. Pertemuan dengan teman saya ini membuatkan saya lebih yakin yang manusia merupakan spesis yang sebenarnya dengan semula-jadinya bersifat ingin tahu. Cuma kebanyakan kita membesar dengan sifat ingin tahu itu dicantas dengan lebih cepat dari waktu kecil. Tetapi sama ada sifat ingin tahu itu masih kuat atau mahu dibiarkan mati apabila menjejak dewasa adalah atas daya kekuatan individu itu sendiri.

Saya percaya bukti yang ramai lagi masih ingin tahu walaupun sudah dewasa diyakinkan lagi dengan anda yang membaca penulisan saya ini.

Cukup sekadar yang blog yang tidak seberapa ini menjadi salah satu dari jutaan titik penemuan dan persinggahan buat mereka yang mencari jawapan dan ingin tahu.


Kembali ke Atas