Translate

Anak seni yang hanya impikan yang terbaik (Part 1).

Terdapat banyak jenis latar belakang, cerita peribadi serta pengalaman ateis di Malaysia ini, apatah lagi yang di luar negara. Ramai yang tidak melabelkan diri sebagai ateis pun kerana ateism itu bukan agama, tetapi ketidakpercayaan pada tuhan. Ada orang zaman dahulu juga ateis, ada orang yang tinggal di kampung juga ateis, ada saintis yang menganggap dirinya ateis dan paling pasti, semua bayi di dunia ini, walau berbeza bangsa, warna kulit, latar belakang dan kepercayaan ibu-bapanya, anak-anak kecil itu semua adalah ateis kerana mereka tidak lagi faham konsep bahasa, jesteru konsep ketuhanan. Mereka cuma tahu yang mereka lapar, mahu "melepas", gembira atau sakit dan sebagainya.

Ada ateis Melayu yang dilahirkan dari latar belakang agama yang kuat, ada ateis Melayu yang berasal dari keluarga nelayan yang sederhana, ada ateis Melayu yang lahir dari keluarga yang berfikiran terbuka dan bermacam-macam lagi.

Keluarga saya pula adalah dari latar belakang seni. Seingat saya mereka tidaklah terlampau alim atau warak, tetapi tidaklah terlampau open-minded juga sehinggakan secara pasti mereka akan menerima anak mereka yang sudah murtad ini. Itu saya tahu kerana semasa membesar, mereka masih lagi hantar saya ke sekolah agama dan memaksa saya memakai tudung sewaktu remaja.

Waktu saya kecil, bau semerbak cat minyak pasti berkeliaran di rumah sewa keluarga saya yang sederhana itu. Sewaktu hari jadi, mak ayah pasti tak lupa untuk membelikan saya pensel warna, crayon dan buku mewarna sebagai hadiah. Ayah sering membuat lukisan catan yang besar di atas canvas, selalu di ruang tempat letak kereta yang telah diubah-suai sebagai studionya. Mak pula banyak membuat hasil seni kraftangan seperti bakul mengkuang, hiasan bunga, pottery dan sebagainya. Memang tidak hairanlah bila saya membesar, cita-cita saya adalah untuk belajar dalam bidang seni juga.


Kalau dilihat foto-foto lama mak ayah saya sewaktu muda, boleh dikatakan rupa mereka sangat seperti muda-mudi 60'an -70'an di televisyen. Mereka lengkap bergaya dengan kaca mata besar mereka, seluar bell-bottomed, gaya rambut mak seakan-akan menggunakan 10 tin spray rambut dan rambut ayah yang "ketak" ber-afro. Latar belakang gambar-gambar tersebut kebanyakkannya berada di institut kesenian Melayu yang paling unggul waktu itu. Bahasa pertuturan utama di institut tersebut waktu itu adalah bahasa Inggeris, lalu baru diikuti oleh bahasa Melayu. Mereka ada pensyarah dari pelbagai bangsa walaupun pelajar-pelajar di situ hampir kesemuanya bumiputera. Mak saya pernah menceritakan sewaktu di kolej perempuan, lelaki bebas saja masuk keluar dan pada waktu malam, mereka akan bentangkan tilam di taman legar hostel untuk melihat bintang-bintang. Ayah juga pernah mengambil ganja sewaktu kuliah berlangsung yang membuatkan ayah saya ketawa tak henti-henti bersama rakan-rakannya. Sungguh hippies mak ayah saya waktu itu.

Kemudian sesudah mereka habis belajar di institut tersebut, mereka terus berkahwin. Ayah diberi peluang untuk menyambung pelajarannya di Amerika Syarikat. Waktu itu gelombang pengaruh pelajar Islam dari negara Arab mula dapat dilihat. Jiran kami di rumah sementara pelajar luar negara sana juga adalah sepasang suami isteri muslim dari negara Arab. Mereka banyak membantu mak dan ayah saya sewaktu kesusahan, seperti meminjamkan kipas sewaktu musim panas yang terik, berkongsi juadah makanan berlebihan, menghadiahkan kami anak-anak banyak permainan baru dan lain-lain lagi.

Ayah masih bergaya agak sama seperti sebelum ini tetapi mak sudah mula bertudung labuh dan memakai jubah. Mungkin kerana faktor umur saya yang masih muda, saya tidak ingat jika ada perubahan besar selain dari luaran sahaja. Mak ayah sembahyang seperti biasa, ada kelihatan buku-buku agama di rumah itu tetapi kami anak-anak masih belum lagi dipaksa apa-apa. Kami gembira di "asuh" dengan menonton rancangan-rancangan di televisyen seperti Sesame Street, Punky Brewster, Transformers, Jem and The Holograms pada waktu siang, dan pada waktu malam curi-curi menonton 21st Jump Street, Miami Vice dan The Twilight Zone.

~ Didididu - didididu - didididu ~ (lagu tema The Twilight Zone berkumandang).~
Akan bersambung ke Part 2.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

My parents pun macam tu jugala. I pernah baca diary my mum. Time dia date dengan my dad, dorang date beramai2 dengan kawan2 kat tepi pantai. My mum pun pakai short pants je. Siap masuk pertandingan ratu cantik lagi xD Zaman dorang more open minded, tak macam sekarang ni. Semuanya kena ikut trend orang gila dari zaman purba kat padang pasir tu. Nak dating pun tak boleh. Even ada agamawan yang cakap dating online pun haram. LOL. Terpaksa lepas kahwin baru boleh kenal. Kalau terkena lelaki jahat, susah lerrr :P

Ana N. Thous berkata...

Itulah, betul-betul seperti yang kebanyakan orang cakap "missing the good old days". Kadang-kadang benda-benda macam ni yang buatkan kita hampir jadi jaded. Tapi terpaksa cuba berfikiran positif. Bagi peluang kat anak-anak freethinkers untuk next generation. I know the extremist pun ada anak, tapi berharap dengan ada internet, yang dalam pendapat saya lagi kuat dari pengaruh tv, diaorang akan baca and hopefully rebel against their old useless tradition.

Also I am trying to make myself feel better by thinking this, lol.

Kembali ke Atas