Translate

Anak seni yang hanya impikan yang terbaik (Part 2).

Mak saya merupakan seorang anak kampung sawah bendang, yang mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi. Mungkin dari dialah saya juga mempunyai sifat yang serupa. Pernah sekali Mak menceritakan satu insiden sewaktu dia kecil, dimana dia mahu mengutip buah durian yang jatuh dari pokok yang ditanam oleh datuk saya. Pokok durian tersebut ditanam di dalam kawasan rumah pakciknya yang tinggal di sebelah rumah. Kawasan kampung datuk saya tidak mempunyai pagar sempadan dan kebanyakan penduduk yang tinggal di situ merupakan adik-beradik dan sanak-saudara kepada datuk nenek saya.

Jadi bila Mak saya waktu itu mahu mengutip buah durian tersebut, pakcik kepada mak saya mula datang mengherdik, "Apa kau buat kat sini? Jangan nak pandai-pandai curi buah durian aku!", katanya pada anak saudara kecilnya.

Mak menjawab, "Tapi buah durian tu saya punya. Abah yang tanam pokok durian tu". Geram kerana mak saya menjawab, pakcik kepada mak saya memanggil datuk saya keluar.

"Kamu tengok anak perempuan kau yang bertuah ni. Pandai dia menjawab dan lawan cakap orang tua. Adakah patut dia nak ambil buah durian yang jatuh kat tanah aku ni?", gesa pakcik itu kepada datuk saya. Lantas datuk mula menilai latar belakang kejadian dan berkata kepada pakcik Mak saya, "Betullah cakap anak aku tadi. Setakat satu buah durian yang jatuh, kau nak berkira dengan budak kecik. Kan banyak lagi pokok durian yang aku tanam kat rumah kau, gamak kau nak hingar-bingar kerana buah durian sebiji yang aku tanam."

Datuk saya kemudiannya menyuruh mak untuk masuk rumah dan berkongsi ulas-ulas buah durian tersebut dengan adik-beradiknya. Selalunya datuk jenis yang tidak suka bergaduh lama-lama, jadi dia sering akan pergi amankan keadaan selepas itu. Mengenangkan aktiviti kegemarannya, dia pasti akan mengajak "Tokcik" saya untuk lepak minum kopi.



Dari kejadian tersebut, ianya memberi impak besar kepada mak saya kerana dia belajar dari situ yang walaupun anda seorang budak dan juga seorang perempuan, jika anda rasa anda di pihak yang benar, anda punya hak untuk tegakkan kebenaran anda, walau sebesar mana halangan.

Tidak seperti Ayah yang merupakan anak kepada seorang guru dan bersekolah English-medium, Mak hanya dihantar ke sekolah Malay-medium kerana datuk dan nenek saya tidak dapat membezakan yang mana lebih baik waktu itu kerana mereka buta huruf. Lantas kerana itu, sebagai anak sulung kepada tiga adik-beradik, Mak menyarankan kepada Datuk untuk menghantar adik-adiknya ke sekolah English-medium. Datuk saya dengan tidak lengah membuat apa yang disarankan, walaupun bayaran yuran adalah lebih mahal. Dengan itu, Datuk banyak melakukan kerja-kerja kampung sampingan selain bekerja sebagai seorang jaga atau guard untuk memenuhi keperluan anak-anak, seperti kerja menangkap ikan dan menoreh di kebun getah manakala Nenek sering ke sawah bendang dan menoreh getah juga.

Saya dapat mengetahui banyak cerita-cerita menarik sebegini kerana Mak. Mungkin ianya salah satu cara untuk Mak mengajar nilai-nilai moral yang dipelajarinya kepada anak-anaknya. Contohnya seperti datuk saya yang walaupun tidak berpelajaran tinggi, masih lagi dapat menunjukkan contoh-contoh sikap dan etika baik dalam perlakuannya setiap hari.

Akan bersambung ke Part 3.

4 ulasan:

Awaken Malay berkata...

Bijak datuk awak tu. Dia tidak peduli tua atau muda, jika salah tetap salah. *respect :)

Tanpa Nama berkata...

Bertuah dapat ahli keluarga yang mempunyai moral dan tidak terlalu fanatik agama ;)

Ana N. Thous berkata...

Kepimpinan melalui teladan :) Tak perlu agama atau Ph.D untuk tahu berbuat baik.

Ana N. Thous berkata...

Itulah, bertuah betul mak saya dapat dilahirkan dalam jagaan ibubapa yang tidak memaksa. Sayang sekali kerana hukum dalam agama islam itu sendiri tidak boleh menerima sesiapa yang murtad, walau darah-daging sendiri, mak saya juga tergolong dalam kumpulan yang percaya tanpa soal.

Hukum inilah yang membuatkan kebanyakan muslim moderate menjadi tidak rasional juga. Buat apa ada anak kalau mahu memulaukan anak semata-mata kerana pilihan hidupnya sendiri. Saya selalu tertanya soalan ini pada mereka yang fanatik agama, kalau anak anda mengaku dirinya ateis, apa yang akan anda lakukan? Ini jugalah yang dirasai oleh kebanyakan teman-teman lesbian, gay, bisexual dan transgender.

Jadi kalau saya pula disoal kalau anak saya mengaku yang dia mahu beragama islam atau agama lain, saya akan biarkan anak saya percaya apa dia mahu percaya. Dia tetap akan menjadi anak saya yang saya harap akan sayang dan menjaga saya di hari tua nanti. Hidup ini terlampau singkat untuk risaukan hal kepercayaan orang lain. Yang penting kepercayaan seseorang itu tidak dipaksa atau dihalang.

Bila dipaksa dan dihalang itulah yang selalu buat saya naik berang, lol :D

Kembali ke Atas