Translate

Anak seni yang hanya impikan yang terbaik (Part 3).

Penduduk kampung kelahiran Mak rata-rata menganut agama Islam secara sederhana jika dilihat dari luar. Adanya masjid untuk solat berjemaah dan anak-anak kecil akan dihantar ke kelas mengaji di rumah makcik tua yang arif dengan bacaan quran. Anak-anak perempuan tidak perlu memakai tudung untuk mengaji walaupun budak lelaki dan perempuan membaca muqaddam atau quran di satu bilik yang sama. Konsep aurat tidak dilekatkan kuat kepada kanak-kanak kecil waktu itu.

Mak sering diejek oleh anak-anak kampung lain kerana lambat masuk mengaji. Mak sudah Tingkatan Satu waktu itu dan kebanyakan anak-anak di situ sudah mula mengaji sejak sekolah rendah. Walaupun tiada ketetapan had umur untuk masuk mengaji waktu itu, sikap kanak-kanak yang nakal dan tidak sensitif itu membuatkan mak saya mahu lagi mengangguhkan pembelajaran mengajinya. Datuk dan Nenek bukan jenis yang memaksa maka mereka tidak menghalang kehendak Mak. Seingat saya, apabila kesemua saya dan adik-beradik sudah khatam quran, barulah Mak mengupah seorang ustaz untuk mengajarnya Tajwid dan cara membaca quran yang betul. Sebelum itu, Mak hanya tahu sebutan dan bacaan asas quran dari kelas agama sekolah sahaja.

Cerita gelap di sebalik suasana pembelajaran agama yang kelihatan biasa di kampung Mak ialah terdapatnya seorang lelaki yang memanggil dirinya Ulama yang kononnya juga berketurunan nabi Muhammad. Mak menceritakan terdapat banyak aktiviti keagamaan kampung itu yang membuatkan Mak musykil kerana ianya tidak seperti apa yang diajar di kelas agama sekolah. Seperti menurut ulama tersebut, sembahyang dan puasa adalah sah walaupun dengan niat sahaja. Kalau saya jadi orang kampung itu, manalah saya tidak seronok. Di bawah ulama tersebut juga, upacara keberkatan akil baligh perempuan juga diadakan. Mak tidak memberikan cerita terperinci tentang aktiviti ini, Mak cuma mengatakan yang dia pelik apabila anak dara dijemput masuk ke rumah ulama tersebut untuk berupacara. Mak saya tidak tahu apa yang dilakukan dalam upacara tersebut kerana mak dan adik-beradiknya tidak dihantar ke situ. Datuk dan Nenek sering sibuk bekerja untuk menampung makan minum dan pembelajaran anak-anak. Mereka tidak punya banyak masa untuk memaksa anak-anak ke upacara keagamaan yang tidak wajib. 

Mungkin kerana pengalaman Mak kepada kejadian-kejadian seperti ini dan sifat ingin tahunya yang kuat, Mak dari sejak itu banyak mencari Islam yang dianggap lebih betul dan lebih baik. Baginya, Islam itu seharusnya bebas dari upacara-upacara keagamaan yang berlebihan dan menekankan yang wajib sahaja, seperti solat, membaca quran, puasa dan sebagainya. Mak sering mengatakan yang dia lebih berminat pada agama Islam yang diajar oleh Hamka dan para ulama Indonesia yang baginya banyak menekankan unsur yang agama Islam itu mudah.


Jadi sewaktu di Amerika Syarikat, mak saya menerima gelombang pengaruh pelajar Arab 80'an yang memakai fesyen jubah dengan hati terbuka. Sewaktu Ayah sibuk belajar pada waktu siang, selain dari aktiviti menjaga kami anak-beranak, Mak sering berminat untuk menghadirkan diri untuk perbincangan hal keagamaan. Mak cuma berasa hampa apabila dia bersama sekumpulan muslimah dari Malaysia yang pada suatu hari sedang membincangkan topik Caesarian-section. Mereka sekumpulan berpendapat yang prosedur tersebut adalah haram kerana ianya tidak semulajadi, kononnya bertentangan dengan cara Allah memberikan hadiah kurnianya kepada kaum wanita. Mak terkedu kerana Mak banyak mengalami kesulitan sewaktu mengandung. Mak pernah keguguran sekali dan salah seorang anaknya dilahirkan tidak cukup bulan. Jadi pada pendapat mak saya, dia tidak punya pilihan selain dari melakukan Caesarian-section

Selepas itu, Mak tidak lagi menghadirkan diri ke kelas perbincangan keagamaan dan lebih senang untuk belajar sendiri di rumah dengan buku-buku. Cuma pernah sekali mak saya mengatakan yang dia pernah berbincang dengan sepasang kumpulan Jehovah Witness yang datang mengetuk pintu pada satu hari, dan Mak menjemput mereka masuk. Mereka berbincang seharian tentang persamaan dan perbezaan di antara kedua-dua agama tanpa mempersendakan mana-mana pihak. Mak saya kata yang kedua-dua orang Jehovah Witness itu berasa amat seronok dapat berbincang dan berbicara dengan mak saya hari itu.

Akan bersambung di Part 4.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

LOL nak buat caesarian-section pun jadi hal... Muzzies macam ni tau nak mati jihad je kot, tak reti nak hargai kehidupan :P

Awaken Malay berkata...

Lamanya nak tunggu post baru cik Ana ni ;) hehe

Ana N. Thous berkata...

Betul tu, Melayu Freethinker. Banyak sangat nak buat peraturan pelik-pelik semata-mata kerana taksub dengan kebenaran masing-masing. Baik lagi sains yang bila terbukti salah, boleh je para saintis mengaku salah ^^

Ana N. Thous berkata...

Maaf, sedang bercuti di negara yang 90% restoran-restoran disini adalah tidak halal, hehe. Bulan depan baru pulang dan boleh sambung semula.

Kembali ke Atas