Translate

Memaparkan catatan dengan label latar belakang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label latar belakang. Papar semua catatan

Anak seni yang hanya impikan yang terbaik (Part 1).

Terdapat banyak jenis latar belakang, cerita peribadi serta pengalaman ateis di Malaysia ini, apatah lagi yang di luar negara. Ramai yang tidak melabelkan diri sebagai ateis pun kerana ateism itu bukan agama, tetapi ketidakpercayaan pada tuhan. Ada orang zaman dahulu juga ateis, ada orang yang tinggal di kampung juga ateis, ada saintis yang menganggap dirinya ateis dan paling pasti, semua bayi di dunia ini, walau berbeza bangsa, warna kulit, latar belakang dan kepercayaan ibu-bapanya, anak-anak kecil itu semua adalah ateis kerana mereka tidak lagi faham konsep bahasa, jesteru konsep ketuhanan. Mereka cuma tahu yang mereka lapar, mahu "melepas", gembira atau sakit dan sebagainya.

Ada ateis Melayu yang dilahirkan dari latar belakang agama yang kuat, ada ateis Melayu yang berasal dari keluarga nelayan yang sederhana, ada ateis Melayu yang lahir dari keluarga yang berfikiran terbuka dan bermacam-macam lagi.

Keluarga saya pula adalah dari latar belakang seni. Seingat saya mereka tidaklah terlampau alim atau warak, tetapi tidaklah terlampau open-minded juga sehinggakan secara pasti mereka akan menerima anak mereka yang sudah murtad ini. Itu saya tahu kerana semasa membesar, mereka masih lagi hantar saya ke sekolah agama dan memaksa saya memakai tudung sewaktu remaja.

Waktu saya kecil, bau semerbak cat minyak pasti berkeliaran di rumah sewa keluarga saya yang sederhana itu. Sewaktu hari jadi, mak ayah pasti tak lupa untuk membelikan saya pensel warna, crayon dan buku mewarna sebagai hadiah. Ayah sering membuat lukisan catan yang besar di atas canvas, selalu di ruang tempat letak kereta yang telah diubah-suai sebagai studionya. Mak pula banyak membuat hasil seni kraftangan seperti bakul mengkuang, hiasan bunga, pottery dan sebagainya. Memang tidak hairanlah bila saya membesar, cita-cita saya adalah untuk belajar dalam bidang seni juga.


Kalau dilihat foto-foto lama mak ayah saya sewaktu muda, boleh dikatakan rupa mereka sangat seperti muda-mudi 60'an -70'an di televisyen. Mereka lengkap bergaya dengan kaca mata besar mereka, seluar bell-bottomed, gaya rambut mak seakan-akan menggunakan 10 tin spray rambut dan rambut ayah yang "ketak" ber-afro. Latar belakang gambar-gambar tersebut kebanyakkannya berada di institut kesenian Melayu yang paling unggul waktu itu. Bahasa pertuturan utama di institut tersebut waktu itu adalah bahasa Inggeris, lalu baru diikuti oleh bahasa Melayu. Mereka ada pensyarah dari pelbagai bangsa walaupun pelajar-pelajar di situ hampir kesemuanya bumiputera. Mak saya pernah menceritakan sewaktu di kolej perempuan, lelaki bebas saja masuk keluar dan pada waktu malam, mereka akan bentangkan tilam di taman legar hostel untuk melihat bintang-bintang. Ayah juga pernah mengambil ganja sewaktu kuliah berlangsung yang membuatkan ayah saya ketawa tak henti-henti bersama rakan-rakannya. Sungguh hippies mak ayah saya waktu itu.

Kemudian sesudah mereka habis belajar di institut tersebut, mereka terus berkahwin. Ayah diberi peluang untuk menyambung pelajarannya di Amerika Syarikat. Waktu itu gelombang pengaruh pelajar Islam dari negara Arab mula dapat dilihat. Jiran kami di rumah sementara pelajar luar negara sana juga adalah sepasang suami isteri muslim dari negara Arab. Mereka banyak membantu mak dan ayah saya sewaktu kesusahan, seperti meminjamkan kipas sewaktu musim panas yang terik, berkongsi juadah makanan berlebihan, menghadiahkan kami anak-anak banyak permainan baru dan lain-lain lagi.

Ayah masih bergaya agak sama seperti sebelum ini tetapi mak sudah mula bertudung labuh dan memakai jubah. Mungkin kerana faktor umur saya yang masih muda, saya tidak ingat jika ada perubahan besar selain dari luaran sahaja. Mak ayah sembahyang seperti biasa, ada kelihatan buku-buku agama di rumah itu tetapi kami anak-anak masih belum lagi dipaksa apa-apa. Kami gembira di "asuh" dengan menonton rancangan-rancangan di televisyen seperti Sesame Street, Punky Brewster, Transformers, Jem and The Holograms pada waktu siang, dan pada waktu malam curi-curi menonton 21st Jump Street, Miami Vice dan The Twilight Zone.

~ Didididu - didididu - didididu ~ (lagu tema The Twilight Zone berkumandang).~
Akan bersambung ke Part 2.

Anak seni yang hanya impikan yang terbaik (Part 2).

Mak saya merupakan seorang anak kampung sawah bendang, yang mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi. Mungkin dari dialah saya juga mempunyai sifat yang serupa. Pernah sekali Mak menceritakan satu insiden sewaktu dia kecil, dimana dia mahu mengutip buah durian yang jatuh dari pokok yang ditanam oleh datuk saya. Pokok durian tersebut ditanam di dalam kawasan rumah pakciknya yang tinggal di sebelah rumah. Kawasan kampung datuk saya tidak mempunyai pagar sempadan dan kebanyakan penduduk yang tinggal di situ merupakan adik-beradik dan sanak-saudara kepada datuk nenek saya.

Jadi bila Mak saya waktu itu mahu mengutip buah durian tersebut, pakcik kepada mak saya mula datang mengherdik, "Apa kau buat kat sini? Jangan nak pandai-pandai curi buah durian aku!", katanya pada anak saudara kecilnya.

Mak menjawab, "Tapi buah durian tu saya punya. Abah yang tanam pokok durian tu". Geram kerana mak saya menjawab, pakcik kepada mak saya memanggil datuk saya keluar.

"Kamu tengok anak perempuan kau yang bertuah ni. Pandai dia menjawab dan lawan cakap orang tua. Adakah patut dia nak ambil buah durian yang jatuh kat tanah aku ni?", gesa pakcik itu kepada datuk saya. Lantas datuk mula menilai latar belakang kejadian dan berkata kepada pakcik Mak saya, "Betullah cakap anak aku tadi. Setakat satu buah durian yang jatuh, kau nak berkira dengan budak kecik. Kan banyak lagi pokok durian yang aku tanam kat rumah kau, gamak kau nak hingar-bingar kerana buah durian sebiji yang aku tanam."

Datuk saya kemudiannya menyuruh mak untuk masuk rumah dan berkongsi ulas-ulas buah durian tersebut dengan adik-beradiknya. Selalunya datuk jenis yang tidak suka bergaduh lama-lama, jadi dia sering akan pergi amankan keadaan selepas itu. Mengenangkan aktiviti kegemarannya, dia pasti akan mengajak "Tokcik" saya untuk lepak minum kopi.



Dari kejadian tersebut, ianya memberi impak besar kepada mak saya kerana dia belajar dari situ yang walaupun anda seorang budak dan juga seorang perempuan, jika anda rasa anda di pihak yang benar, anda punya hak untuk tegakkan kebenaran anda, walau sebesar mana halangan.

Tidak seperti Ayah yang merupakan anak kepada seorang guru dan bersekolah English-medium, Mak hanya dihantar ke sekolah Malay-medium kerana datuk dan nenek saya tidak dapat membezakan yang mana lebih baik waktu itu kerana mereka buta huruf. Lantas kerana itu, sebagai anak sulung kepada tiga adik-beradik, Mak menyarankan kepada Datuk untuk menghantar adik-adiknya ke sekolah English-medium. Datuk saya dengan tidak lengah membuat apa yang disarankan, walaupun bayaran yuran adalah lebih mahal. Dengan itu, Datuk banyak melakukan kerja-kerja kampung sampingan selain bekerja sebagai seorang jaga atau guard untuk memenuhi keperluan anak-anak, seperti kerja menangkap ikan dan menoreh di kebun getah manakala Nenek sering ke sawah bendang dan menoreh getah juga.

Saya dapat mengetahui banyak cerita-cerita menarik sebegini kerana Mak. Mungkin ianya salah satu cara untuk Mak mengajar nilai-nilai moral yang dipelajarinya kepada anak-anaknya. Contohnya seperti datuk saya yang walaupun tidak berpelajaran tinggi, masih lagi dapat menunjukkan contoh-contoh sikap dan etika baik dalam perlakuannya setiap hari.

Akan bersambung ke Part 3.

Anak seni yang hanya impikan yang terbaik (Part 3).

Penduduk kampung kelahiran Mak rata-rata menganut agama Islam secara sederhana jika dilihat dari luar. Adanya masjid untuk solat berjemaah dan anak-anak kecil akan dihantar ke kelas mengaji di rumah makcik tua yang arif dengan bacaan quran. Anak-anak perempuan tidak perlu memakai tudung untuk mengaji walaupun budak lelaki dan perempuan membaca muqaddam atau quran di satu bilik yang sama. Konsep aurat tidak dilekatkan kuat kepada kanak-kanak kecil waktu itu.

Mak sering diejek oleh anak-anak kampung lain kerana lambat masuk mengaji. Mak sudah Tingkatan Satu waktu itu dan kebanyakan anak-anak di situ sudah mula mengaji sejak sekolah rendah. Walaupun tiada ketetapan had umur untuk masuk mengaji waktu itu, sikap kanak-kanak yang nakal dan tidak sensitif itu membuatkan mak saya mahu lagi mengangguhkan pembelajaran mengajinya. Datuk dan Nenek bukan jenis yang memaksa maka mereka tidak menghalang kehendak Mak. Seingat saya, apabila kesemua saya dan adik-beradik sudah khatam quran, barulah Mak mengupah seorang ustaz untuk mengajarnya Tajwid dan cara membaca quran yang betul. Sebelum itu, Mak hanya tahu sebutan dan bacaan asas quran dari kelas agama sekolah sahaja.

Cerita gelap di sebalik suasana pembelajaran agama yang kelihatan biasa di kampung Mak ialah terdapatnya seorang lelaki yang memanggil dirinya Ulama yang kononnya juga berketurunan nabi Muhammad. Mak menceritakan terdapat banyak aktiviti keagamaan kampung itu yang membuatkan Mak musykil kerana ianya tidak seperti apa yang diajar di kelas agama sekolah. Seperti menurut ulama tersebut, sembahyang dan puasa adalah sah walaupun dengan niat sahaja. Kalau saya jadi orang kampung itu, manalah saya tidak seronok. Di bawah ulama tersebut juga, upacara keberkatan akil baligh perempuan juga diadakan. Mak tidak memberikan cerita terperinci tentang aktiviti ini, Mak cuma mengatakan yang dia pelik apabila anak dara dijemput masuk ke rumah ulama tersebut untuk berupacara. Mak saya tidak tahu apa yang dilakukan dalam upacara tersebut kerana mak dan adik-beradiknya tidak dihantar ke situ. Datuk dan Nenek sering sibuk bekerja untuk menampung makan minum dan pembelajaran anak-anak. Mereka tidak punya banyak masa untuk memaksa anak-anak ke upacara keagamaan yang tidak wajib. 

Mungkin kerana pengalaman Mak kepada kejadian-kejadian seperti ini dan sifat ingin tahunya yang kuat, Mak dari sejak itu banyak mencari Islam yang dianggap lebih betul dan lebih baik. Baginya, Islam itu seharusnya bebas dari upacara-upacara keagamaan yang berlebihan dan menekankan yang wajib sahaja, seperti solat, membaca quran, puasa dan sebagainya. Mak sering mengatakan yang dia lebih berminat pada agama Islam yang diajar oleh Hamka dan para ulama Indonesia yang baginya banyak menekankan unsur yang agama Islam itu mudah.


Jadi sewaktu di Amerika Syarikat, mak saya menerima gelombang pengaruh pelajar Arab 80'an yang memakai fesyen jubah dengan hati terbuka. Sewaktu Ayah sibuk belajar pada waktu siang, selain dari aktiviti menjaga kami anak-beranak, Mak sering berminat untuk menghadirkan diri untuk perbincangan hal keagamaan. Mak cuma berasa hampa apabila dia bersama sekumpulan muslimah dari Malaysia yang pada suatu hari sedang membincangkan topik Caesarian-section. Mereka sekumpulan berpendapat yang prosedur tersebut adalah haram kerana ianya tidak semulajadi, kononnya bertentangan dengan cara Allah memberikan hadiah kurnianya kepada kaum wanita. Mak terkedu kerana Mak banyak mengalami kesulitan sewaktu mengandung. Mak pernah keguguran sekali dan salah seorang anaknya dilahirkan tidak cukup bulan. Jadi pada pendapat mak saya, dia tidak punya pilihan selain dari melakukan Caesarian-section

Selepas itu, Mak tidak lagi menghadirkan diri ke kelas perbincangan keagamaan dan lebih senang untuk belajar sendiri di rumah dengan buku-buku. Cuma pernah sekali mak saya mengatakan yang dia pernah berbincang dengan sepasang kumpulan Jehovah Witness yang datang mengetuk pintu pada satu hari, dan Mak menjemput mereka masuk. Mereka berbincang seharian tentang persamaan dan perbezaan di antara kedua-dua agama tanpa mempersendakan mana-mana pihak. Mak saya kata yang kedua-dua orang Jehovah Witness itu berasa amat seronok dapat berbincang dan berbicara dengan mak saya hari itu.

Akan bersambung di Part 4.

Anak seni yang hanya impikan yang terbaik (Part 4)

Lebih kurang lima tahun kami sekeluarga di Amerika Syarikat, akhirnya Ayah sudah tamat pengajiannya di luar negara. Setibanya di tanah air, keluarga saya sering berpindah-randah kerana masih belum mampu untuk membeli rumah sendiri sehinggalah saya sudah berumur 10 tahun. Mak dan Ayah akhirnya bermastautin di bandar yang rata-ratanya hampir 80% penduduknya berbangsa melayu ini. Sering berpindah dan menukar rumah sewa sebelum ini bermaksud saya juga sering bertukar sekolah. Belum sempat nak sesuaikan diri di bilik darjah dan membuat teman karib, saya perlu pindah lagi ke sekolah baru yang lain.


Kadang-kala banyak subjek atau topik pembelajaran saya ketinggalan kerana ada sekolah yang lebih mundur banding yang lain. Kerana faktor ini, saya banyak kali didenda oleh guru dan diejek oleh rakan sekelas lain. Saya juga mangsa sesuai untuk dibuli pelajar lebih superior.

Kerana kurang teman karib pada waktu pembesaran, saya menjadi seorang yang pendiam dan kuat berimaginasi orangnya. Sering berjalan bagaikan di awang-awangan. Waktu itu, kebanyakan ibu-bapa tidak mempunyai masalah anak-anak kecil darjah 2 berjalan seorang diri dari sekolah untuk pulang ke rumah, walaupun bila difikirkan balik, sangat jauh perjalanan pulang sebenarnya. Di minda kecil ini, penat lelah tidak terasa apabila dunia adalah taman permainan saya. Disinilah imaginasi ligat bergolak aktif. Bermain di tepi jalan dan di dalam longkang atau parit besar, bergayut di bawah pokok ceri, menyinggah sebentar di kedai makanan ringan dan macam-macam lagi.

Cerita-cerita tentang bahaya diculik atau dirogol belum dihebahkan seperti sekarang. Walaubagaimanapun, cerita-cerita yang menakutkan saya waktu itu adalah tanda-tanda akhir zaman yang kononnya pernah muncul di langit Malaysia - siap difotostat gambaran lukisannya sekali, walaupun kualitinya amat rendah. Gambaran paling menyeramkan dalam salinan gambaran itu antaranya kepala perempuan yang rambut panjangnya terbakar kerana tidak memakai tudung dan gambaran yang semenanjung Malaysia akan terbalik dan di atasnya Singapura. Saya tak pasti apa perkaitannya ini dengan agama, tetapi idea tanah yang saya berdiri boleh terbalik amat menakutkan. Buat seorang kanak-kanak, ia bakal memberi mimpi ngeri buat beberapa hari. Setiap tahun di waktu sekolah rendah agama, ada saja rakaman tape suara seram "aku sakaratul mauuuuuuuuuuut!!!" di mainkan. Saya banyak cuba mengelak setelah tahun pertama mendengar rekod tape tersebut, dan cuba memikirkan hal yang lebih menggembirakan seperti memikirkan tentang aiskrim perisa apa yang mahu dibeli selepas habis mengaji.

Selepas sekolah agama dan mengaji, saya akan pulang ke rumah untuk bermain badminton atau "masak-masak" bersama anak jiran saya yang merupakan seorang bukan muslim. Saya lebih karib dengan dia kerana dia tidak tahu akan masalah pembelajaran saya di sekolah. Terasa bebas tanpa ejekan dan tambah pula, ibunya sering berkongsi makanan bersama keluarga kami. Hampir menjadi tradisi waktu itu untuk bertukar-tukar makanan yang berlebihan sesama jiran tetangga. Kadang-kala setelah pulang dari sekolah agama dimana ustazah-ustazah sering mengatakan yang orang bukan Islam akan masuk neraka, saya akan terfikir sejenak kenapa kawan karib saya waktu itu harus dilontar ke azab api neraka yang panas, walaupun dia dan keluarganya cukup baik terhadap kami dan orang sekeliling.

Mak dan Ayah pada waktu itu lebih sibuk bekerja, sambil kami dijaga oleh Datuk dan Nenek. Walaupun ibu-bapa sering sibuk di hari minggu, Mak dan Ayah sering meluangkan masa bersama kami pada hujung minggu, membawa kami ke Parkson Grand atau Pasar Tani. Datuk dan Nenek juga memanjakan kami di waktu mak ayah sibuk bekerja. Memori minum kopi O panas menggunakan piring kecil dan membantu Datuk membuka gulungan rokok daunnya merupakan kenangan manis belaka. Saya juga membesar dengan banyak buku-buku cerita Disney sebagai inisiatif mak ayah ingin anak-anak mereka pandai berbahasa Inggeris dan untuk suapan keagamaan, cerita-cerita nabi dan rakan-rakan mereka. Hasil berkat didikan mereka, saya sering mendapat tempat 10 tertinggi pada hujung pembelajaran sekolah rendah dan sekolah rendah agama.

Akan bersambung ke Part 5.

P/S: Terasa lucu pula apabila mendengar semula rakaman tape "sajak sakaratul maut" zaman tahun 90'an tersebut di YouTube. Tidak saya sangka betapa kotornya isi kandungannya, dengan konotasi seksual seperti "mistress", "isteri-isteri muda", "ibu menggoyangkan buah susunya" dan lain-lain lagi. Nasib baik suara lelaki yang menakutkan tersebut mengunakan banyak sound effect bergema dan menjerit melalak kerana kalau tidak, sungguh tidak sesuai untuk pemahaman kanak-kanak sedang membesar. Saya kini tahu bahawa pekerjaan seperti peguam, doktor, jurutera, arkitek dan profesor adalah tidak digalakkan kalau diikutkan pesanan rakaman tape tersebut kerana mereka tidak akan memberi kepada ayahnya doa anak yang soleh :P

Video:
Mesej seksual yang subliminal waktu kematian :P (Trigger Warning kepada sesiapa yang takut pada suara "berhantu").


Anak seni yang hanya impikan yang terbaik (Part 5)

Memori sewaktu di sekolah Menengah tidak seberapa warna-warni seperti zaman sekolah Rendah. Mungkin ini adalah perkara biasa, tambahan pula hormon mula melonjak dan ketidakselesaan sering berlaku waktu ini. Waktu ini juga saya mula dipaksa untuk memakai tudung, walaupun saya dihantar ke sekolah yang semuanya pelajar perempuan. Kerap-kali saya memberontak dengan tidak memakai tudung waktu Pendidikan Jasmani. Di benak kepala saya, latihan lasak dan fizikal yang menghasilkan peluh di cuaca tropika Malaysia sungguh tidak sesuai apabila diri ditutup litup.

Soalan-soalan logika sebegini sering menjadi punca kenapa masalah sering timbul dalam hidup seharian saya. Saya takkan lupa tentang satu soalan karangan Bahasa Melayu Tingkatan Satu di mana saya dikehendaki membuat penulisan kreatif di mana saya kononnya menghadirkan diri di satu majlis perkahwinan rakan karib saya apabila kami dewasa. Rakan karib saya waktu itu adalah seorang bukan muslim, jadi saya menulis yang saya pergi ke majlis perkahwinannya yang dibuat di dalam gereja. Tidak susah untuk saya berimaginasi demikian kerana banyak drama rancangan TV berbahasa Inggeris menunjukkan perkahwinan di mana pengantin perempuan berpakaian gaun putih, berjalan di sepanjang karpet merah menuju ke altar bersama bakal suaminya untuk bersumpah untuk menjaganya sehidup semati. Tidak terlintas langsung di fikiran saya yang seorang rakan muslim tidak dibenarkan ke gereja untuk majlis perkahwinan seorang rakan Kristian atau seorang muslim tidak dibenarkan menjejakkan kaki di gereja waktu itu.

Karangan saya yang naif itu tidak dikritik oleh guru saya secara langsung kepada saya, tetapi dihantar kepada ibubapa saya. Mungkin kerana ianya adalah memori yang tidak indah atau repressed memory, saya tidak ingat langsung apa yang dikatakan oleh ibubapa saya sewaktu mereka berbincang tentang hal ini. Cuma yang pasti, saya tidak lagi menulis mengikut pendapat sendiri lagi. Keputusan pembelajaran saya secara umumnya juga semakin merosot kerana saya tidak lagi meminati topik-topik pembelajaran di sekolah, kecuali subjek senilukis. Saya sudah mula selesa mengurungkan diri di dalam bilik apabila di rumah dan mendengar lagu-lagu pop rock di radio. Sehari dalam kehidupan seorang remaja yang tipikal.

Saya menganggap diri saya bertuah sedikit kerana belum mengambil minat yang lebih terhadap lelaki "sebenar" waktu remaja kerana dikelilingi oleh perempuan sahaja di sekolah. Gerak-geri saya dalam sehari-hari juga lebih terkongkong dengan kelas tambahan selepas pulang dari sekolah. Lelaki yang wujud dalam hidup saya waktu itu cuma ahli keluarga dan di dalam ruang dunia selebriti sahaja. Poster-poster artis lelaki idaman dari luar negara adalah lebih menarik berbanding dengan cerita-cerita rakan sebaya tentang teman lelaki mereka dari sekolah berhampiran. Ibu saya pula hanya membenarkan saya menjejak ke pusat membeli-belah bersama rakan buat pertama kali (bukan dengan keluarga) sewaktu saya Tingkatan Lima. Mungkin itu merupakan salah satu faktor kenapa saya kurang meminati aktiviti membeli-belah juga.

Disebabkan zaman sekolah Menengah yang merudum, saya sudah mula mengimpikan kehidupan yang lebih menarik seandainya saya belajar lebih tinggi di kolej atau universiti. Saya tidak sabar untuk mendalami subjek-subjek Seni yang diminati seperti yang dapat dilihat di televisyen atau zaman universiti ibubapa saya waktu 70an. Dengan keputusan yang baik dalam subjek Seni, saya diterima masuk ke institut pengajian tinggi Bumiputera yang terkemuka, di mana semua cerita-cerita gembira dan radikal dari ibubapa saya di dalam jurusan Seni di situ dianggap bakal menjadi kenyataan.

Akan bersambung ke Part 6.


Maaf kepada sesiapa yang menunggu

Bukanlah sengaja untuk saya melengahkan entri penulisan dalam blog ini, tetapi seperti yang apa yang saya komen dalam blog Mulhid Melayu, saya pada satu detik harus melangkah kebelakang sejenak untuk menimbang semula tujuan saya menulis dalam blog ini. Saya memang tidak bercadang untuk menjadi begitu aktif (tidak mahu memaksa diri juga, kerana pada pendapat saya, banyak benda lebih menarik lagi dalam hidup berbanding dengan hujah kepercayaan dan tidak-kepercayaan). Dan seperti kata Mulhid Melayu, "kita berada pada satu zaman di mana penerimaan sains itu dah terlalu meluas dan bukti-bukti yang agama itu adalah rekaan manusia itu sudah terlalu banyak bagi membenarkan para pencari kebenaran untuk melihat yang agama itu sebagai sesuatu yang meyakinkan". I couldn't have said it better.

Saya ingin berkongsi satu pertemuan dengan salah seorang rakan saya yang juga seorang Melayu atheist. Bezanya antara kami adalah latar-belakang keluarga. Dia membesar dalam keluarga yang langsung tidak menitik-beratkan hal keagamaan, malah menerima/memahami seandainya anak-anak memilih untuk tidak percaya pada tuhan - dengan syarat, mereka hidup dengan budi pekerti yang baik sesama masyarakat. Saya pula membesar dalam keluarga yang pentingkan hal kewajipan dalam agama Islam.

Dia faham kenapa saya dan seperti kebanyakan teman-teman Melayu atheist lain lebih cenderung untuk merasa hampa dan marah kerana membesar dalam keadaan yang agak terkongkong, berbanding dengannya yang boleh saya katakan terlihat jauh lebih tenang dari sudut personalitinya. Cuma perbezaan kepercayaan berbanding dengan kebanyakan orang Melayu lain mula terlihat apabila dia mula menyuarakan pendapatnya.

Di dalam satu forum awam yang membincangkan tentang isu-isu semasa, teman saya ini pernah bangun untuk mempertahankan seorang teman lain yang menyatakan tentang kebebasan beragama. Tetapi kerana hal tersebut, teman saya mula kehilangan beberapa kawan yang sebelum ini tidak pernah membincangkan tentang hal kepercayaan. Atau mungkin mereka tidak mahu berkawan dengan seorang yang secara terang-terangan mengatakan yang semua manusia punya hak untuk memilih agama masing-masing. Manakan tidak, kita begitu suka apabila ada penganut agama Buddha, Hindu, Kristian dan sebagainya meninggalkan agama lama mereka untuk masuk Islam tetapi tidak jikalau sebaliknya.

Semenjak dari itu, teman saya ini lebih cenderung untuk meneruskan hidup seperti biasa tanpa menyentuh hal keagamaan secara terbuka, kecuali apabila ada teman-teman yang ingin berbincang secara peribadi dengannya. Pertemuan dengan teman saya ini membuatkan saya lebih yakin yang manusia merupakan spesis yang sebenarnya dengan semula-jadinya bersifat ingin tahu. Cuma kebanyakan kita membesar dengan sifat ingin tahu itu dicantas dengan lebih cepat dari waktu kecil. Tetapi sama ada sifat ingin tahu itu masih kuat atau mahu dibiarkan mati apabila menjejak dewasa adalah atas daya kekuatan individu itu sendiri.

Saya percaya bukti yang ramai lagi masih ingin tahu walaupun sudah dewasa diyakinkan lagi dengan anda yang membaca penulisan saya ini.

Cukup sekadar yang blog yang tidak seberapa ini menjadi salah satu dari jutaan titik penemuan dan persinggahan buat mereka yang mencari jawapan dan ingin tahu.


Kembali ke Atas