Translate

Bahasa kadang-kala menjadi punca perpecahan dan penyatuan.

 

Antara punca perbalahan topik ateism vs. agama (malah sesama kumpulan mereka sendiri) adalah apabila label-label mengongkong digunakan. Contohnya ateis, agnostik, antiteis dan lain-lain. Saya bukan seorang yang sangat tertib dalam bidang bahasa, jadi saya lebih senang untuk tidak memberatkan hal ini. Tetapi hari ini saya akan cuba memahami serba-sedikit kenapa ianya sering menjadi isu yang agak kerap timbul terutamanya dalam forum-forum online.

Sesetangah manusia berasa aman dengan benda-benda yang dikategorikan dalam kotaknya masing-masing. Pada pendapat saya, ateism, agnostism, semua ini satu dan sama sahaja, tidak perlu berbalah seperti orang beragama yang sesetengahnya pecah-belah kerana kategori atau label mereka berbeza walaupun menyembah tuhan yang sama, contohnya Sunni dan Syiah. Jadi orang-orang yang tidak menyembah apa-apa tuhan tidak perlu berpecah hanya kerana semantik bahasa.

Disini saya akan cuba telitikan:

Ateism adalah berlawanan dengan teism. Kedua-dua terma ini berkaitan dengan soalan "Adakah anda percaya pada kewujudan tuhan?". Jadi ini adalah soalan teologi. Jika anda tak percaya, anda adalah seorang ateis. Kalau anda percaya, sedikit atau banyak, anda adalah seorang teist. Disinilah selalu terletaknya label Muslim extremist, Muslim moderate atau yang sering saya lihat walau liberal bagaimana sekalipun sesetengah rakan saya, siap minum arak, melakukan perkara-perkara yang sepatutnya haram dalam Islam, mereka tidak akan mengatakan mereka seorang ateis. Mereka masih lagi percaya pada tuhan.

Agnostik pula beza isunya, dimana apabila ateism adalah berkaitan dengan isu kepercayaan, agnostik pula berkaitan dengan isu pengetahuan. Jadi terma agnostik bermain dengan soalan "Adakah anda tahu tentang kewujudan tuhan?. Tidak mengetahui membuatkan anda seorang agnostik. Kalau menurut anda, anda tahu kewujudan tuhan, anda adalah seorang gnostik. Bagaimana pula jika menurut anda, anda tahu tentang ketidakwujudan tuhan? Soalan itu adalah tidak logik kerana anda tidak akan tahu tentang sesuatu yang tidak wujud. Jadi ini akan berbalik semula kepada soalan "Adakah anda percaya pada kewujudan tuhan?" di atas tadi.

Kadang-kala ada yang tersilap dalam mengatakan yang dengan melabelkan diri sebagai agnostik, ianya bermaksud berada di atas pagar di antara ateism dan teism kerana mereka masih belum lagi mendalami soalan-soalan tersebut. Lagi menghampakan apabila berbicara tentang kepercayaan, sesetengah orang lebih senang "menyorok" di bawah label agnostik dan menghabiskan hujah mereka di situ. Tidak ada salahnya tidak mengetahui, malah kepercayaan adalah soal yang berbeza dari pengetahuan. Adakah seseorang yang percaya pada tuhannya tahu segala-galanya tentang tuhannya? Tidak semestinya. Malah, seorang saintis yang bijak sering mengatakan yang mereka tidak tahu apabila mereka benar-benar tidak tahu, dan bukannya dengan menjawab "Hanya tuhan saja yang tahu".

Ada juga mereka yang melabelkan diri mereka agnostik kerana berasa lebih selesa berada di antara para ateis yang "dogmatik" dan para teist yang kerap berbalah di antara kedua-dua mereka. Mereka merasakan yang melabelkan diri mereka sebagai agnostik adalah lebih matang dan lebih rasional. Tetapi ini berlaku kerana salah-faham tentang maksud agnostism itu sendiri. Ianya bukan jalan tengah diantara ateism dan teism kerana ateism dan agnostism bermain dengan soalan yang berbeza sekali.

Jadi pada pendapat saya, agnostism dan ateism bukanlah saling ekslusif di antara sesama mereka. Anda boleh melabelkan diri anda kedua-duanya sekali pada masa yang sama.

Seorang antiteis pula merupakan seseorang yang beranggapan yang para teist adalah seorang yang tidak rasional. Antiteis melihat kepercayaan pada tuhan sebagai satu kepercayaan yang perlu dihapuskan. Dalam kata lain, antiteism menolak idea teism dan merasakan yang hidup masyarakat sekelompok adalah lebih baik tanpa kepercayaan terhadap sebarang tuhan.

Maka disini saya cuba simpulkan yang ateism adalah berkaitan dengan isu kepercayaan, agnostism dengan isu pengetahuan dan antiteism berkaitan dengan tanggapan ateis terhadap sistem agama. Jika ada sesiapa yang pakar di dalam bidang bahasa ingin membetulkan apa-apa kesalahan dalam huraian penulisan saya, sila ambil galah, tolong tunjukkan ;) Saya juga "budak" yang masih dan sentiasa belajar.

Dan kalau label itu penting untuk anda (malah tidak salah untuk melabelkan kerana saya anggap ianya sikap keterbiasaan sesetengah manusia), bolehlah anda sarungkan saya dengan label ateis, ateis pasif, agnostik, humanist, sekularis atau freethinker.

Ada orang beragama yang baik, ada orang beragama yang jahat. Ada ateis yang baik, ada ateis yang jahat. Tiada siapa yang sempurna. (Siapa yang nak paksa saya menerima idea yang kerana manusia tak sempurnalah = tuhan wujud, saya akan abaikan dan padam komen-komen anda kerana saya sudah katakan yang saya tidak percaya akan kewujudan tuhan. Suka hati sayalah untuk tidak percaya pada sebarang tuhan, seperti suka hati anda jugalah untuk percaya pada tuhan).

Yang penting pada pendapat saya, kita sama-sama berusaha untuk jadi manusia yang baik, jujur dan cuba sebaik mungkin untuk memusnahkan idea yang tidak boleh digunakan lagi, contohnya sikap benci-membenci kerana perbezaan pendapat atau agama, menghukum golongan LGBT yang tidak menganggu hidup atau ibadat orang lain, sikap memukul, menindas wanita, kanak-kanak dan bermacam-macam lagi.

Benda lama yang tidak boleh pakai, kita buang. Atau kita bagi pada mereka yang masih lagi mahu pakai benda lama tersebut.

Terpulanglah :)

6 ulasan:

Awaken Malay berkata...

Ulasan yang jujur dan menarik. Jika boleh ditambah, golongan atheist memandang atheism sekadar label. Namun golongan agama memandang atheism sebagai kumpulan yang membenci tuhan.

Maka sebab itu prajudis, double standard, kebencian, penghinaan dilontarkan kepada golongan atheist bagaikan ia satu perjuangan suci mereka.

Apa-apa pun perjelasan Ana T.Heist amat jelas dalam membuat pembandingan definasi antara label-label yang wujud (in this subject).

PS: Gembira berjumpa satu lagi blogger freethinker dalam bahasa Melayu yg berani muncul di persada internet :) Salam perkenalan.

Tanpa Nama berkata...

Awaken Malay: I guess it right, isn't it? ;)

Ana T. Heist: Good start... A very courageous move. Keep the spirit up to write more post. I'm looking forward... :)

Ana N. Thous berkata...

Terima kasih. Silakan saja menambah dan memberikan kritikan positif terhadap mana-mana penulisan saya dalam blog yang baru dimulakan ini.

Ya, memang seperti yang apa yang saudara katakan, kebanyakan ateis cuma memandang ateism sebagai label sahaja dan kebanyakan golongan agama pula mengelompokkan ateis sebagai musuh mereka kerana "membenci" tuhan mereka.

Saya kerap kali ketawa kecil apabila terfikirkan bagaimana seseorang itu "benci" pada sesuatu yang dipercayai tidak wujud. Seperti seorang budak Kristian yang sudah tahu santa klaus tidak wujud, dia cuma akan hampa dengan ibu-bapanya yang tidak membelikannya hadiah pada hari Krismas tersebut dan bukannya membenci santa klaus.

Atau "membenci" hantu. Itu tidak mungkin boleh berlaku kecuali jika seseorang itu percaya yang hantu wujud. Takut pada hantu adalah lebih logikal, seperti golongan beragama yang takutkan tuhan.

Kenapa saya katakan yang terdapat segelintir ateis yang berbalah mengenai label ini kerana saya ada seorang kenalan ateis Melayu yang memandang rendah golongan agnostik kerana dia menganggap mereka sebagai ateis "lemah". Tetapi setelah melihat semula analisa saya di atas, dia bolehlah dikategorikan sebagai seorang ateis yang juga antiteis. Selalunya saya kurang senang berbincang dengan segelintir ateis sebegini kerana mereka adalah antara yang kerap mengeluarkan ayat-ayat berbunyi militan, contohnya keinginan untuk membunuh anak seorang beragama extemist.

Pada pendapat saya, utopia dimana semua orang tidak percayakan tuhan adalah agak mustahil. Maka seperti kata John Lennon, kita hanya boleh "Imagine" sahaja.

P/S: Sayalah -A. yang kadang-kala memberi komen dalam blog anda. Penulisan saudara dan Melayu Freethinker adalah yang mencetuskan semangat keberanian dan inspirasi untuk saya lebih menulis dalam bahasa Melayu. Salam perkenalan :)

Ana N. Thous berkata...

Thank you, dear :) This blog wouldn't have started if it weren't for you. I am sure there will be more people getting inspired by your writings in the near future too.

Terus nyalakan api semangat juga, Melayu Freethinker ;)

Tanpa Nama berkata...

"Ada orang beragama yang baik, ada orang beragama yang jahat. Ada ateis yang baik, ada ateis yang jahat. Tiada siapa yang sempurna." saya sgt2 setuju dgn perkara ni. Geng2 awaken malay...kalian tahu di mana kedudukan kalian! Tulisan & pandangan dlm blog kalian penuh dgn negatif.

Ana N. Thous berkata...

"Geng2 awaken malay...kalian tahu di mana kedudukan kalian! Tulisan & pandangan dlm blog kalian penuh dgn negatif."

Kepada Awanama di atas,

Saya akui yang sememangnya ada penulisan saya dalam blog ini yang bernada negatif. Ianya ditujukan kepada idea dalam Islam yang saya fikir perlu diubah supaya bersesuaian dengan zaman.

Namun, tidak sekalipun saya rasa kebencian kepada golongan Muslim yang baik seperti keluarga dan ramai sahabat Muslim saya. Mereka adalah antara Muslim yang saya sokong kuat kerana mereka hidup dengan mencipta Islam yang lebih maju dan toleran, bersesuaian dengan Wawasan 2020.

Kembali ke Atas