Translate

[Trigger Warning: Potentially depressing content] Kelahiran dan Kematian (Part 1)

Saya tidak bermaksud untuk membuat sesiapa yang membaca berasa murung atau depressed. Sebagai trigger-warning, kalau pembaca merasakan topik ini membuatkan anda murung, saya cadangkan anda untuk menjauhi dari terus membaca entri kali ini.



Kematian merupakan perkara yang sering saya fikirkan sejak umur remaja sehingga sekarang. Dari waktu-waktu kemurungan, waktu mendengar lagu sayu berkenaan kematian, sehingga kepada peristiwa-peristiwa kematian teman-teman karib yang masih muda - sering membuat saya merenung sejenak tentang maksud kematian dan kehidupan.

Mungkin pandangan saya terhadap kematian boleh berubah apabila pengalaman dan ilmu bertambah lebih mendalam (kerana inilah saya memberikan topik ini sebagai bab bersiri kerana topik ini boleh dilihat dalam banyak sudut dan jangkawaktu). Ianya adalah sifat semulajadi manusia untuk sentiasa menyoal hal kematian dan kehidupan apabila ianya berlaku setiap hari. Semua yang hidup akan mati. Tiada yang kekal.

Tidak dapat saya bayangkan apa perasaan sendiri apabila meningkat umur, adakah saya akan lebih tenang? Adakah saya akan lebih sedih kerana rakan-rakan sebaya sudah meninggal dunia bila umur saya disekitar 40-80 tahun? Bak kata pepatah yang saya pernah dengar, ada satu waktu anda akan sering menziarahi majlis perkahwinan teman-teman, dan ada satu waktu anda akan sering menziarahi majlis pengebumian teman-teman.

Saya belum lagi mencecah umur 40-an tetapi sudah punya teman-teman yang meninggal dunia kerana pelbagai sebab, dari kesihatan, kemalangan serta mengambil nyawa sendiri.

Semasa saya masih percayakan tuhan, amat mudah untuk saya katakan yang kononnya memang sudah takdir tuhan yang sudah menentukan hidup matinya seseorang. Kononnya memang sudah takdir yang menentukan yang kakak saya yang sepatutnya dilahirkan, mati dalam kandungan mak saya. Kononnya memang sudah takdir satu kemalangan kenderaan berlaku yang menyebabkan saudara saya meninggal dunia - tetapi akhirnya saya sedar betapa mudahnya kepercayaan tersebut diluahkan semata-mata untuk menenangkan perasaan diri sendiri, ahli keluarga dan rakan-rakan sekeliling yang masih hidup.

Adakah sudah takdir tuhan apabila lebih dari separuh penduduk manusia di bumi ciptaannya tidak beragama Islam dan mati masuk neraka? Adakah sudah takdir apabila suatu kemalangan berlaku atas sebab kecuaian manusia? Adakah sudah takdir apabila adik saya sendiri dicabuli sewaktu kecil dan saya tidak dapat membantu waktu itu?

Kalau adanya tuhan, mengapa dia tidak berbuat apa-apa? Mahu katakan yang tuhan menjadikan semua kejadian yang tidak diingini berlaku kerana ia adalah "ujian" dari tuhan menunjukkan yang tuhan adalah kejam atau gila. Bagaikan seorang ibu yang kejam atau tidak waras membiarkan anaknya mati atau dicabuli. Kalau manusia yang bersifat begitu, kita tanpa segan silu memanggil orang itu sakit mental, jiwa dan tidak berperikemanusiaan. Tapi kalau tuhan, kita sanggup memanggil itu ujian? Saya rasa sesetengah binatang pun lebih berperikemanusiaan dari tuhan.

Dimanakah rasa empathy tuhan? Atau sebenarnya manusia yang menciptakan idea dan cerita dongeng tentang tuhan tersebut adalah seorang yang tiada rasa empathy dan tiada rasa keibuan kerana berjiwa kacau?

Bagi saya, kerana saya percaya kita hidup satu hayat ini sahaja, maka kecenderungan untuk berbuat baik adalah lebih kerana tiada janji manis syurga atau neraka. Seperti contoh, dalam Islam, apabila membunuh orang yang bukan seagama dengan anda, kafir atau murtad, tuhan menjanjikan syurga dan bidadari (mana bidadaranya untuk jihad perempuan muslim pula?). Atau kalau membuat kejahatan seperti merasuah atau merogol, kalau anda muslim, anda akan masuk neraka buat seketika waktu, dan kemudian dijanjikan syurga jua. Orang bukan muslim yang berbuat baik sepanjang hayat tetap masuk neraka. Tuhan sungguh tak adil betul.

Yang saya percaya, bila kita mati tinggal cuma kenangan sejarah buat keluarga dan teman-teman kita yang masih hidup. Kalau anda hidup dengan sebaik mungkin, maka baiklah memori yang ditinggalkan dan juga jika sebaliknya.

2 ulasan:

Ohne Name berkata...

Seketika waktu pon beribu2 tahun dlm neraka? xbbaloi pon buat jahat

Ana N. Thous berkata...

Betul tu Ohne Name. Tak perlu ditakutkan dengan azab neraka untuk berbuat baik. Bila kita berbuat baik, selalunya kita akan berasa baik juga,

Tapi ada juga baik dibalas dengan kejahatan. Tapi itulah sebahagian dari asam garam kehidupan. Untuk jadi tauladan dan renungan yang tidak semuanya yang manis2 saja :)

Kembali ke Atas