Translate

Anak seni yang hanya impikan yang terbaik (Part 4)

Lebih kurang lima tahun kami sekeluarga di Amerika Syarikat, akhirnya Ayah sudah tamat pengajiannya di luar negara. Setibanya di tanah air, keluarga saya sering berpindah-randah kerana masih belum mampu untuk membeli rumah sendiri sehinggalah saya sudah berumur 10 tahun. Mak dan Ayah akhirnya bermastautin di bandar yang rata-ratanya hampir 80% penduduknya berbangsa melayu ini. Sering berpindah dan menukar rumah sewa sebelum ini bermaksud saya juga sering bertukar sekolah. Belum sempat nak sesuaikan diri di bilik darjah dan membuat teman karib, saya perlu pindah lagi ke sekolah baru yang lain.


Kadang-kala banyak subjek atau topik pembelajaran saya ketinggalan kerana ada sekolah yang lebih mundur banding yang lain. Kerana faktor ini, saya banyak kali didenda oleh guru dan diejek oleh rakan sekelas lain. Saya juga mangsa sesuai untuk dibuli pelajar lebih superior.

Kerana kurang teman karib pada waktu pembesaran, saya menjadi seorang yang pendiam dan kuat berimaginasi orangnya. Sering berjalan bagaikan di awang-awangan. Waktu itu, kebanyakan ibu-bapa tidak mempunyai masalah anak-anak kecil darjah 2 berjalan seorang diri dari sekolah untuk pulang ke rumah, walaupun bila difikirkan balik, sangat jauh perjalanan pulang sebenarnya. Di minda kecil ini, penat lelah tidak terasa apabila dunia adalah taman permainan saya. Disinilah imaginasi ligat bergolak aktif. Bermain di tepi jalan dan di dalam longkang atau parit besar, bergayut di bawah pokok ceri, menyinggah sebentar di kedai makanan ringan dan macam-macam lagi.

Cerita-cerita tentang bahaya diculik atau dirogol belum dihebahkan seperti sekarang. Walaubagaimanapun, cerita-cerita yang menakutkan saya waktu itu adalah tanda-tanda akhir zaman yang kononnya pernah muncul di langit Malaysia - siap difotostat gambaran lukisannya sekali, walaupun kualitinya amat rendah. Gambaran paling menyeramkan dalam salinan gambaran itu antaranya kepala perempuan yang rambut panjangnya terbakar kerana tidak memakai tudung dan gambaran yang semenanjung Malaysia akan terbalik dan di atasnya Singapura. Saya tak pasti apa perkaitannya ini dengan agama, tetapi idea tanah yang saya berdiri boleh terbalik amat menakutkan. Buat seorang kanak-kanak, ia bakal memberi mimpi ngeri buat beberapa hari. Setiap tahun di waktu sekolah rendah agama, ada saja rakaman tape suara seram "aku sakaratul mauuuuuuuuuuut!!!" di mainkan. Saya banyak cuba mengelak setelah tahun pertama mendengar rekod tape tersebut, dan cuba memikirkan hal yang lebih menggembirakan seperti memikirkan tentang aiskrim perisa apa yang mahu dibeli selepas habis mengaji.

Selepas sekolah agama dan mengaji, saya akan pulang ke rumah untuk bermain badminton atau "masak-masak" bersama anak jiran saya yang merupakan seorang bukan muslim. Saya lebih karib dengan dia kerana dia tidak tahu akan masalah pembelajaran saya di sekolah. Terasa bebas tanpa ejekan dan tambah pula, ibunya sering berkongsi makanan bersama keluarga kami. Hampir menjadi tradisi waktu itu untuk bertukar-tukar makanan yang berlebihan sesama jiran tetangga. Kadang-kala setelah pulang dari sekolah agama dimana ustazah-ustazah sering mengatakan yang orang bukan Islam akan masuk neraka, saya akan terfikir sejenak kenapa kawan karib saya waktu itu harus dilontar ke azab api neraka yang panas, walaupun dia dan keluarganya cukup baik terhadap kami dan orang sekeliling.

Mak dan Ayah pada waktu itu lebih sibuk bekerja, sambil kami dijaga oleh Datuk dan Nenek. Walaupun ibu-bapa sering sibuk di hari minggu, Mak dan Ayah sering meluangkan masa bersama kami pada hujung minggu, membawa kami ke Parkson Grand atau Pasar Tani. Datuk dan Nenek juga memanjakan kami di waktu mak ayah sibuk bekerja. Memori minum kopi O panas menggunakan piring kecil dan membantu Datuk membuka gulungan rokok daunnya merupakan kenangan manis belaka. Saya juga membesar dengan banyak buku-buku cerita Disney sebagai inisiatif mak ayah ingin anak-anak mereka pandai berbahasa Inggeris dan untuk suapan keagamaan, cerita-cerita nabi dan rakan-rakan mereka. Hasil berkat didikan mereka, saya sering mendapat tempat 10 tertinggi pada hujung pembelajaran sekolah rendah dan sekolah rendah agama.

Akan bersambung ke Part 5.

P/S: Terasa lucu pula apabila mendengar semula rakaman tape "sajak sakaratul maut" zaman tahun 90'an tersebut di YouTube. Tidak saya sangka betapa kotornya isi kandungannya, dengan konotasi seksual seperti "mistress", "isteri-isteri muda", "ibu menggoyangkan buah susunya" dan lain-lain lagi. Nasib baik suara lelaki yang menakutkan tersebut mengunakan banyak sound effect bergema dan menjerit melalak kerana kalau tidak, sungguh tidak sesuai untuk pemahaman kanak-kanak sedang membesar. Saya kini tahu bahawa pekerjaan seperti peguam, doktor, jurutera, arkitek dan profesor adalah tidak digalakkan kalau diikutkan pesanan rakaman tape tersebut kerana mereka tidak akan memberi kepada ayahnya doa anak yang soleh :P

Video:
Mesej seksual yang subliminal waktu kematian :P (Trigger Warning kepada sesiapa yang takut pada suara "berhantu").


4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Haha. Saya rasa video sakaratul maut ni sudah jadi sesuatu yang sungguh melucukan. Dulu bukan main seram lagi layan benda2 bodoh macam ni :D

Awaken Malay berkata...

Ana ni dari kecil dah nampak kebijaksanaannya :D

Video tu memang lawak... Tukang cakapnya bercerita seperti betul2 perkara itu didepan matanya. Padahal itu semua fantasi org agama. Dia sendiri tak pernah melihat perkara tu.

Kanak-kanak tidak sepatutnya diperlihatkan video sebegitu. Ia hanya merosakkan fikiran dan mungkin menjadi trauma kepada anak-anak tersebut tanpa sedar.

Ana N. Thous berkata...

Itulah XD Nampak sangat nak bagi budak-budak takut sampai dia tua. Itupun kalau bila budak tu dah besar dan tak pernah mendalami lagi persoalan dalam agama atau bertanyakan jauh mana kebenaran itu. Orang yang tak pernah study Islam lagi mendalam je yang kekal takut dengan benda-benda dongeng ni.

Ana N. Thous berkata...

Terima kasih, saya rasa saya taklah begitu bijak, cuma banyak menyoal sahaja. Nanti dalam Siri Anak Seni akan datang, akan nampak pembelajaran saya di sekolah menengah merudum, lol XD

Betul kata Awaken Malay yang video sebegitu merosakkan. Nasib baik kita yang lebih suka menyoal ni lebih sedar dan tidak lagi takut. Tapi bagaimana pula yang masih lagi takut sampai dewasa? Kasihan...

Kembali ke Atas