Translate

Kenapa Ana?

 

Semestinya soalan pertama yang diajukan oleh teman-teman saya apabila mengetahui yang saya sudah tidak percayakan tuhan, mereka akan tanya kenapa, bagaimana, sejak bila, siapa yang mempengaruhi dan sebagainya. The basic "W's"-lah.

Memang tidak dapat saya nafikan, untuk akhirnya mengakui pada diri sendiri yang saya adalah seorang ateis tidak berlaku sepantas atau semudah saya memetik jari. Apabila sudah lebih suku abad telah dipaksa untuk mempercayai kewujudan tuhan, untuk "berpisah" bagaikan begitu susah, liat dan likat. Bagaikan sudah dalam darah-daging saya. Malah ada satu waktu itu saya belum mendalami topik kewujudan manusia, bumi, planet dan lain-lain lagi. Saya lebih memikirkan tentang isu moraliti, mungkin kerana waktu itu hormon juga sedang melonjak. Saya cepat marah, terutama sekali apabila sesuatu itu tidak mempunyai jawapan, bila dengan mudah ianya dijawab "hanya tuhan saja yang tahu".

Kemudian tidak lama setelah itu, nasib saya terlampau baik kerana wujudnya Internet. Ianya bagaikan pembuka empangan tali air. Dari situlah terjumpa buku-buku dan video dari Ayaan Hirsi Ali, Carl Sagan, Christopher Hitchens, Richard Dawkins, Sam Harris dan ramai lagi. Itulah titik permulaan yang saya dapat mendekati dengan lebih banyak tentang topik-topik sains kewujudan manusia, bumi, planet dan lain-lain lagi.

Jadi jawapan kepada soalan "sejak bila?" adalah ianya berlaku beransur-ansur. Dari waktu kanak-kanak saya mempersoalkan "kenapa teman-teman karib Cina dan India saya yang cukup baik hati kena masuk neraka?", pada waktu remaja bila saya sering dipaksa memakai tudung walaupun di hantar ke sekolah yang semuanya perempuan walhal tiada siapa yang akan "tergoda", sehinggalah apabila mula menjejak dewasa, melihat banyak penindasan yang berlaku kepada perempuan atas nama agama.

Jadi, jawapan diatas juga telah merangkumi sebahagian dari kenapa, siapa yang mempengaruhi dan bagaimana saya tidak lagi percaya pada kewujudan tuhan. Anda akan lebih tahu lagi dalam penceritaan dan penulisan saya yang akan datang.

2 ulasan:

Awaken Malay berkata...

Tak sabar nak tunggu penulisan Ana selepas ni :)

Ana N. Thous berkata...

Terima kasih. Update penulisan baru akan tiba sebentar lagi :)

Kembali ke Atas