Mungkin akan ada dari tetamu-tetamu blog saya yang kecil ini sedar yang saya (akan) sering menyentuh topik LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual dan Trangender). Disini saya ingin menerangkan yang bukan saja golongan agama sahaja yang homofobia atau transfobia (carilah sendiri maksudnya di Google kalau tidak faham), segelintir ateis juga ada yang masih tidak menerima wujudnya rakan-rakan LGBT kerana latar belakang patriaki yang kuat. "Lelaki mesti jadi lelaki" atau "Perempuan tidak boleh membaca komik atau menganggap dirinya geek atau nerd kerana perempuan hanya baca manga Jepun" adalah antara pendapat yang dapat di lihat jika anda rajin memantau suasana budaya pop/popular online.
Namun begitu pemberatan yang saya ingin tekankan adalah terhadap golongan beragama, terutamanya agama Kristian dan Islam yang terang-terangan menidakkan kehidupan sebagai seorang LGBT. Saya akui yang saya juga pernah berjumpa dengan muslim dari Malaysia dan Indonesia yang toleran terhadap rakan-rakan LGBT ini, tetapi penyokongnya adalah begitu kecil. Mereka yang vokal menyokong LGBT sering juga menjadi mangsa ugutan orang beragama yang tidak toleran. Sisters In Islam, sebuah organisasi bukan kerajaan atau NGO Malaysia yang banyak membantu wanita dan golongan LGBT ini sudah banyak kali diugut dan diganggu oleh pihak-pihak yang suka membenci ini.
Jadi bukan sahaja golongan ateis yang menyokong LGBT ini, tetapi terdapat juga kumpulan beragama Islam yang sudah lebih memahami dan berfikiran terbuka dalam penerimaan teman-teman LGBT. Bahkan ramai golongan LGBT yang saya kenal di Malaysia percaya akan kewujudan tuhan, sembahyang dan mengamalkan hukum asas agama Islam seperti muslim lain. LGBT bukannya wujud kerana pengaruh, atau sifat ingin memberontak tetapi naluri keinginan sendiri sebagaimana anda tertarik dengan pasangan anda dan keselesaan diri sendiri untuk melabelkan jantina sendiri sebagai perempuan, lelaki, tomboy, metrosexual, ditengah-tengah, bercampur-aduk atau selainnya.
Saya kadang-kala cukup hairan atau hanya mampu menggelengkan kepala apabila golongan beragama berbalah atau ada yang bersikap seperti "tuhan" untuk menidakkan dan menghukum orang yang "berbeza" dengan mereka untuk menyembah tuhan yang sama, apa lagi dengan mereka yang beragama lain. Adakah ini lumrah ragam manusia dan asam garam kehidupan?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan