Translate

Anak seni yang hanya impikan yang terbaik (Part 2).

Mak saya merupakan seorang anak kampung sawah bendang, yang mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi. Mungkin dari dialah saya juga mempunyai sifat yang serupa. Pernah sekali Mak menceritakan satu insiden sewaktu dia kecil, dimana dia mahu mengutip buah durian yang jatuh dari pokok yang ditanam oleh datuk saya. Pokok durian tersebut ditanam di dalam kawasan rumah pakciknya yang tinggal di sebelah rumah. Kawasan kampung datuk saya tidak mempunyai pagar sempadan dan kebanyakan penduduk yang tinggal di situ merupakan adik-beradik dan sanak-saudara kepada datuk nenek saya.

Jadi bila Mak saya waktu itu mahu mengutip buah durian tersebut, pakcik kepada mak saya mula datang mengherdik, "Apa kau buat kat sini? Jangan nak pandai-pandai curi buah durian aku!", katanya pada anak saudara kecilnya.

Mak menjawab, "Tapi buah durian tu saya punya. Abah yang tanam pokok durian tu". Geram kerana mak saya menjawab, pakcik kepada mak saya memanggil datuk saya keluar.

"Kamu tengok anak perempuan kau yang bertuah ni. Pandai dia menjawab dan lawan cakap orang tua. Adakah patut dia nak ambil buah durian yang jatuh kat tanah aku ni?", gesa pakcik itu kepada datuk saya. Lantas datuk mula menilai latar belakang kejadian dan berkata kepada pakcik Mak saya, "Betullah cakap anak aku tadi. Setakat satu buah durian yang jatuh, kau nak berkira dengan budak kecik. Kan banyak lagi pokok durian yang aku tanam kat rumah kau, gamak kau nak hingar-bingar kerana buah durian sebiji yang aku tanam."

Datuk saya kemudiannya menyuruh mak untuk masuk rumah dan berkongsi ulas-ulas buah durian tersebut dengan adik-beradiknya. Selalunya datuk jenis yang tidak suka bergaduh lama-lama, jadi dia sering akan pergi amankan keadaan selepas itu. Mengenangkan aktiviti kegemarannya, dia pasti akan mengajak "Tokcik" saya untuk lepak minum kopi.



Dari kejadian tersebut, ianya memberi impak besar kepada mak saya kerana dia belajar dari situ yang walaupun anda seorang budak dan juga seorang perempuan, jika anda rasa anda di pihak yang benar, anda punya hak untuk tegakkan kebenaran anda, walau sebesar mana halangan.

Tidak seperti Ayah yang merupakan anak kepada seorang guru dan bersekolah English-medium, Mak hanya dihantar ke sekolah Malay-medium kerana datuk dan nenek saya tidak dapat membezakan yang mana lebih baik waktu itu kerana mereka buta huruf. Lantas kerana itu, sebagai anak sulung kepada tiga adik-beradik, Mak menyarankan kepada Datuk untuk menghantar adik-adiknya ke sekolah English-medium. Datuk saya dengan tidak lengah membuat apa yang disarankan, walaupun bayaran yuran adalah lebih mahal. Dengan itu, Datuk banyak melakukan kerja-kerja kampung sampingan selain bekerja sebagai seorang jaga atau guard untuk memenuhi keperluan anak-anak, seperti kerja menangkap ikan dan menoreh di kebun getah manakala Nenek sering ke sawah bendang dan menoreh getah juga.

Saya dapat mengetahui banyak cerita-cerita menarik sebegini kerana Mak. Mungkin ianya salah satu cara untuk Mak mengajar nilai-nilai moral yang dipelajarinya kepada anak-anaknya. Contohnya seperti datuk saya yang walaupun tidak berpelajaran tinggi, masih lagi dapat menunjukkan contoh-contoh sikap dan etika baik dalam perlakuannya setiap hari.

Akan bersambung ke Part 3.

Malaysia dan Makanan

Siapalah yang tidak tahu yang seseorang yang mengaku dirinya anak Malaysia, dia itu pasti berbangga dengan kelebihan makanan yang boleh didapati di negara ini. Sampaikan terdapat pertelingkahan pula dengan negara-negara jiran tentang asal-usul makanan yang tertentu. Namun begitu, kita harus ingat yang kita saling pengaruh-mempengaruhi, tambah pula dengan migrasi yang berlaku zaman-berzaman dan apatah lagi bila kita semua bersaudara dan serumpun.

Dalam entri saya sebelum ini, saya ada mengatakan yang saya makan makanan tidak ditanggung halal bersama adik saya sewaktu merantau di negara luar yang sangat sukar untuk mendapat makanan halal. Ini mengingatkan saya tentang pengalaman ramai teman-teman Cina saya yang sering mengadu kepada saya yang kenapa teman-teman Melayu tidak mahu bertandang ke rumah mereka walaupun makanan yang disediakan di rumah mereka sudah dimasak menggunakan bahan-bahan halal. Bukannya susah untuk mereka membeli barangan yang ada tanda halal oleh JAKIM atau dari makcik pakcik Melayu di pasar pagi.

Tetapi alasan yang sering diberikan adalah kerana pinggan, mangkuk, kuali dan sebagainya digunakan sama untuk memasak dan menghidangkan daging babi sebelum itu. Ada-ada saja alasan untuk bersifat tidak menghormati orang atau budaya lain walaupun mereka sudah bersusah-payah membeli makanan halal untuk tetamu-tetamu muslim mereka. Stigma was-was ini yang kebanyakannya menguatkan sikap rasisma di kalangan orang Melayu di Malaysia.

Kalau terlampau was-was, tak perlulah melancong atau belajar ke negara luar seperti China (bukankah nabi ada mengatakan muslim perlu belajar sampai negara China?), Eropah, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jepun dan sebagainya. Melancong sajalah di negara Arab yang kebanyakan mereka memandang rendah pada bangsa asing kerana mereka keturunan bangsa nabi-nabi dan orang Malayu adalah bangsa-bangsa hamba berkulit coklat dan pekerja "kelas bawahan" di negara mereka.

Saya pernah membuat kerja sukarelawan yang kebanyakan kanak-kanak di dalam program itu berbangsa Melayu. Kami ingin menyediakan makanan vegetarian yang dimasak oleh jiran tetangga komuniti tersebut yang berbangsa India. Namun pada awalnya, saudari jiran India itu sendiri yang risau jika anak-anak berbangsa Melayu di situ tidak mahu makan makanan yang dibuatnya. Ini membuatkan kami lebih mahu menekankan betapa pentingnya untuk makan bersama-sama dan merasai masakan jiran tetangga yang berbeza bangsa. Lebih-lebih lagi apabila makanan itu lebih suci murni dari makanan halal kerana tidak ada unsur "kekejaman" (penyembelihan haiwan) dan bagus untuk kesihatan. Slogan sahaja gah Satu Malaysia tetapi jiwa bangsa berpecah-belah hanya kerana agama yang berbeza.


Kejadian yang hampir sama juga berlaku sewaktu saya ke Sarawak untuk mengunjungi satu kampung tradisional di situ. Mereka sungguh tidak percaya yang saya seorang Melayu Semenanjung kerana mereka menganggap yang kebanyakkan orang Melayu tidak akan menjamah makanan tradisi suku kaum mereka, apatah lagi minum minuman tradisi "tuak" bersama-sama mereka. Saya cuma dapat ketawa kecil dan mengatakan yang mereka belum jumpa ramai teman-teman Melayu saya lagi yang pasti boleh minum lebih baik dari saya. 

Agama apakah yang mengajar penganutnya untuk sebenarnya benci-membenci antara satu sama lain tetapi di depan-depan berpura-pura, senyum manis dan katakan agamanya adalah agama kedamaian dan hormat-menghormati? Tapi bukan main lagi menyuruh orang beragama dan bangsa lain untuk menghormati mereka. Maaf, things doesn't work that way. Kena hormat orang lain dulu sebelum mahu dihormati orang lain. Setakat ini, di Malaysia, agama Islam terkenal dengan sikap tidak toleransi. Tak tahu bagaimana di negara lain pula...

Anak seni yang hanya impikan yang terbaik (Part 3).

Penduduk kampung kelahiran Mak rata-rata menganut agama Islam secara sederhana jika dilihat dari luar. Adanya masjid untuk solat berjemaah dan anak-anak kecil akan dihantar ke kelas mengaji di rumah makcik tua yang arif dengan bacaan quran. Anak-anak perempuan tidak perlu memakai tudung untuk mengaji walaupun budak lelaki dan perempuan membaca muqaddam atau quran di satu bilik yang sama. Konsep aurat tidak dilekatkan kuat kepada kanak-kanak kecil waktu itu.

Mak sering diejek oleh anak-anak kampung lain kerana lambat masuk mengaji. Mak sudah Tingkatan Satu waktu itu dan kebanyakan anak-anak di situ sudah mula mengaji sejak sekolah rendah. Walaupun tiada ketetapan had umur untuk masuk mengaji waktu itu, sikap kanak-kanak yang nakal dan tidak sensitif itu membuatkan mak saya mahu lagi mengangguhkan pembelajaran mengajinya. Datuk dan Nenek bukan jenis yang memaksa maka mereka tidak menghalang kehendak Mak. Seingat saya, apabila kesemua saya dan adik-beradik sudah khatam quran, barulah Mak mengupah seorang ustaz untuk mengajarnya Tajwid dan cara membaca quran yang betul. Sebelum itu, Mak hanya tahu sebutan dan bacaan asas quran dari kelas agama sekolah sahaja.

Cerita gelap di sebalik suasana pembelajaran agama yang kelihatan biasa di kampung Mak ialah terdapatnya seorang lelaki yang memanggil dirinya Ulama yang kononnya juga berketurunan nabi Muhammad. Mak menceritakan terdapat banyak aktiviti keagamaan kampung itu yang membuatkan Mak musykil kerana ianya tidak seperti apa yang diajar di kelas agama sekolah. Seperti menurut ulama tersebut, sembahyang dan puasa adalah sah walaupun dengan niat sahaja. Kalau saya jadi orang kampung itu, manalah saya tidak seronok. Di bawah ulama tersebut juga, upacara keberkatan akil baligh perempuan juga diadakan. Mak tidak memberikan cerita terperinci tentang aktiviti ini, Mak cuma mengatakan yang dia pelik apabila anak dara dijemput masuk ke rumah ulama tersebut untuk berupacara. Mak saya tidak tahu apa yang dilakukan dalam upacara tersebut kerana mak dan adik-beradiknya tidak dihantar ke situ. Datuk dan Nenek sering sibuk bekerja untuk menampung makan minum dan pembelajaran anak-anak. Mereka tidak punya banyak masa untuk memaksa anak-anak ke upacara keagamaan yang tidak wajib. 

Mungkin kerana pengalaman Mak kepada kejadian-kejadian seperti ini dan sifat ingin tahunya yang kuat, Mak dari sejak itu banyak mencari Islam yang dianggap lebih betul dan lebih baik. Baginya, Islam itu seharusnya bebas dari upacara-upacara keagamaan yang berlebihan dan menekankan yang wajib sahaja, seperti solat, membaca quran, puasa dan sebagainya. Mak sering mengatakan yang dia lebih berminat pada agama Islam yang diajar oleh Hamka dan para ulama Indonesia yang baginya banyak menekankan unsur yang agama Islam itu mudah.


Jadi sewaktu di Amerika Syarikat, mak saya menerima gelombang pengaruh pelajar Arab 80'an yang memakai fesyen jubah dengan hati terbuka. Sewaktu Ayah sibuk belajar pada waktu siang, selain dari aktiviti menjaga kami anak-beranak, Mak sering berminat untuk menghadirkan diri untuk perbincangan hal keagamaan. Mak cuma berasa hampa apabila dia bersama sekumpulan muslimah dari Malaysia yang pada suatu hari sedang membincangkan topik Caesarian-section. Mereka sekumpulan berpendapat yang prosedur tersebut adalah haram kerana ianya tidak semulajadi, kononnya bertentangan dengan cara Allah memberikan hadiah kurnianya kepada kaum wanita. Mak terkedu kerana Mak banyak mengalami kesulitan sewaktu mengandung. Mak pernah keguguran sekali dan salah seorang anaknya dilahirkan tidak cukup bulan. Jadi pada pendapat mak saya, dia tidak punya pilihan selain dari melakukan Caesarian-section

Selepas itu, Mak tidak lagi menghadirkan diri ke kelas perbincangan keagamaan dan lebih senang untuk belajar sendiri di rumah dengan buku-buku. Cuma pernah sekali mak saya mengatakan yang dia pernah berbincang dengan sepasang kumpulan Jehovah Witness yang datang mengetuk pintu pada satu hari, dan Mak menjemput mereka masuk. Mereka berbincang seharian tentang persamaan dan perbezaan di antara kedua-dua agama tanpa mempersendakan mana-mana pihak. Mak saya kata yang kedua-dua orang Jehovah Witness itu berasa amat seronok dapat berbincang dan berbicara dengan mak saya hari itu.

Akan bersambung di Part 4.
Kembali ke Atas