Translate

[Trigger Warning: Potentially depressing content] Kelahiran dan Kematian (Part 1)

Saya tidak bermaksud untuk membuat sesiapa yang membaca berasa murung atau depressed. Sebagai trigger-warning, kalau pembaca merasakan topik ini membuatkan anda murung, saya cadangkan anda untuk menjauhi dari terus membaca entri kali ini.



Kematian merupakan perkara yang sering saya fikirkan sejak umur remaja sehingga sekarang. Dari waktu-waktu kemurungan, waktu mendengar lagu sayu berkenaan kematian, sehingga kepada peristiwa-peristiwa kematian teman-teman karib yang masih muda - sering membuat saya merenung sejenak tentang maksud kematian dan kehidupan.

Mungkin pandangan saya terhadap kematian boleh berubah apabila pengalaman dan ilmu bertambah lebih mendalam (kerana inilah saya memberikan topik ini sebagai bab bersiri kerana topik ini boleh dilihat dalam banyak sudut dan jangkawaktu). Ianya adalah sifat semulajadi manusia untuk sentiasa menyoal hal kematian dan kehidupan apabila ianya berlaku setiap hari. Semua yang hidup akan mati. Tiada yang kekal.

Tidak dapat saya bayangkan apa perasaan sendiri apabila meningkat umur, adakah saya akan lebih tenang? Adakah saya akan lebih sedih kerana rakan-rakan sebaya sudah meninggal dunia bila umur saya disekitar 40-80 tahun? Bak kata pepatah yang saya pernah dengar, ada satu waktu anda akan sering menziarahi majlis perkahwinan teman-teman, dan ada satu waktu anda akan sering menziarahi majlis pengebumian teman-teman.

Saya belum lagi mencecah umur 40-an tetapi sudah punya teman-teman yang meninggal dunia kerana pelbagai sebab, dari kesihatan, kemalangan serta mengambil nyawa sendiri.

Semasa saya masih percayakan tuhan, amat mudah untuk saya katakan yang kononnya memang sudah takdir tuhan yang sudah menentukan hidup matinya seseorang. Kononnya memang sudah takdir yang menentukan yang kakak saya yang sepatutnya dilahirkan, mati dalam kandungan mak saya. Kononnya memang sudah takdir satu kemalangan kenderaan berlaku yang menyebabkan saudara saya meninggal dunia - tetapi akhirnya saya sedar betapa mudahnya kepercayaan tersebut diluahkan semata-mata untuk menenangkan perasaan diri sendiri, ahli keluarga dan rakan-rakan sekeliling yang masih hidup.

Adakah sudah takdir tuhan apabila lebih dari separuh penduduk manusia di bumi ciptaannya tidak beragama Islam dan mati masuk neraka? Adakah sudah takdir apabila suatu kemalangan berlaku atas sebab kecuaian manusia? Adakah sudah takdir apabila adik saya sendiri dicabuli sewaktu kecil dan saya tidak dapat membantu waktu itu?

Kalau adanya tuhan, mengapa dia tidak berbuat apa-apa? Mahu katakan yang tuhan menjadikan semua kejadian yang tidak diingini berlaku kerana ia adalah "ujian" dari tuhan menunjukkan yang tuhan adalah kejam atau gila. Bagaikan seorang ibu yang kejam atau tidak waras membiarkan anaknya mati atau dicabuli. Kalau manusia yang bersifat begitu, kita tanpa segan silu memanggil orang itu sakit mental, jiwa dan tidak berperikemanusiaan. Tapi kalau tuhan, kita sanggup memanggil itu ujian? Saya rasa sesetengah binatang pun lebih berperikemanusiaan dari tuhan.

Dimanakah rasa empathy tuhan? Atau sebenarnya manusia yang menciptakan idea dan cerita dongeng tentang tuhan tersebut adalah seorang yang tiada rasa empathy dan tiada rasa keibuan kerana berjiwa kacau?

Bagi saya, kerana saya percaya kita hidup satu hayat ini sahaja, maka kecenderungan untuk berbuat baik adalah lebih kerana tiada janji manis syurga atau neraka. Seperti contoh, dalam Islam, apabila membunuh orang yang bukan seagama dengan anda, kafir atau murtad, tuhan menjanjikan syurga dan bidadari (mana bidadaranya untuk jihad perempuan muslim pula?). Atau kalau membuat kejahatan seperti merasuah atau merogol, kalau anda muslim, anda akan masuk neraka buat seketika waktu, dan kemudian dijanjikan syurga jua. Orang bukan muslim yang berbuat baik sepanjang hayat tetap masuk neraka. Tuhan sungguh tak adil betul.

Yang saya percaya, bila kita mati tinggal cuma kenangan sejarah buat keluarga dan teman-teman kita yang masih hidup. Kalau anda hidup dengan sebaik mungkin, maka baiklah memori yang ditinggalkan dan juga jika sebaliknya.

"Ternyata babi juga cantik kalau dipakaikan jilbab"

Memandangkan entri-entri saya sebelum ini kebanyakannya bernada marah, kali ini saya pos video lucu dari Indonesia yang menceritakan maksud penggunaan InsyaAllah yang sebenar :)
 

Video:
Aku di'InsyaAllah'in sama SkinnyIndonesian24

Anak seni yang hanya impikan yang terbaik (Part 4)

Lebih kurang lima tahun kami sekeluarga di Amerika Syarikat, akhirnya Ayah sudah tamat pengajiannya di luar negara. Setibanya di tanah air, keluarga saya sering berpindah-randah kerana masih belum mampu untuk membeli rumah sendiri sehinggalah saya sudah berumur 10 tahun. Mak dan Ayah akhirnya bermastautin di bandar yang rata-ratanya hampir 80% penduduknya berbangsa melayu ini. Sering berpindah dan menukar rumah sewa sebelum ini bermaksud saya juga sering bertukar sekolah. Belum sempat nak sesuaikan diri di bilik darjah dan membuat teman karib, saya perlu pindah lagi ke sekolah baru yang lain.


Kadang-kala banyak subjek atau topik pembelajaran saya ketinggalan kerana ada sekolah yang lebih mundur banding yang lain. Kerana faktor ini, saya banyak kali didenda oleh guru dan diejek oleh rakan sekelas lain. Saya juga mangsa sesuai untuk dibuli pelajar lebih superior.

Kerana kurang teman karib pada waktu pembesaran, saya menjadi seorang yang pendiam dan kuat berimaginasi orangnya. Sering berjalan bagaikan di awang-awangan. Waktu itu, kebanyakan ibu-bapa tidak mempunyai masalah anak-anak kecil darjah 2 berjalan seorang diri dari sekolah untuk pulang ke rumah, walaupun bila difikirkan balik, sangat jauh perjalanan pulang sebenarnya. Di minda kecil ini, penat lelah tidak terasa apabila dunia adalah taman permainan saya. Disinilah imaginasi ligat bergolak aktif. Bermain di tepi jalan dan di dalam longkang atau parit besar, bergayut di bawah pokok ceri, menyinggah sebentar di kedai makanan ringan dan macam-macam lagi.

Cerita-cerita tentang bahaya diculik atau dirogol belum dihebahkan seperti sekarang. Walaubagaimanapun, cerita-cerita yang menakutkan saya waktu itu adalah tanda-tanda akhir zaman yang kononnya pernah muncul di langit Malaysia - siap difotostat gambaran lukisannya sekali, walaupun kualitinya amat rendah. Gambaran paling menyeramkan dalam salinan gambaran itu antaranya kepala perempuan yang rambut panjangnya terbakar kerana tidak memakai tudung dan gambaran yang semenanjung Malaysia akan terbalik dan di atasnya Singapura. Saya tak pasti apa perkaitannya ini dengan agama, tetapi idea tanah yang saya berdiri boleh terbalik amat menakutkan. Buat seorang kanak-kanak, ia bakal memberi mimpi ngeri buat beberapa hari. Setiap tahun di waktu sekolah rendah agama, ada saja rakaman tape suara seram "aku sakaratul mauuuuuuuuuuut!!!" di mainkan. Saya banyak cuba mengelak setelah tahun pertama mendengar rekod tape tersebut, dan cuba memikirkan hal yang lebih menggembirakan seperti memikirkan tentang aiskrim perisa apa yang mahu dibeli selepas habis mengaji.

Selepas sekolah agama dan mengaji, saya akan pulang ke rumah untuk bermain badminton atau "masak-masak" bersama anak jiran saya yang merupakan seorang bukan muslim. Saya lebih karib dengan dia kerana dia tidak tahu akan masalah pembelajaran saya di sekolah. Terasa bebas tanpa ejekan dan tambah pula, ibunya sering berkongsi makanan bersama keluarga kami. Hampir menjadi tradisi waktu itu untuk bertukar-tukar makanan yang berlebihan sesama jiran tetangga. Kadang-kala setelah pulang dari sekolah agama dimana ustazah-ustazah sering mengatakan yang orang bukan Islam akan masuk neraka, saya akan terfikir sejenak kenapa kawan karib saya waktu itu harus dilontar ke azab api neraka yang panas, walaupun dia dan keluarganya cukup baik terhadap kami dan orang sekeliling.

Mak dan Ayah pada waktu itu lebih sibuk bekerja, sambil kami dijaga oleh Datuk dan Nenek. Walaupun ibu-bapa sering sibuk di hari minggu, Mak dan Ayah sering meluangkan masa bersama kami pada hujung minggu, membawa kami ke Parkson Grand atau Pasar Tani. Datuk dan Nenek juga memanjakan kami di waktu mak ayah sibuk bekerja. Memori minum kopi O panas menggunakan piring kecil dan membantu Datuk membuka gulungan rokok daunnya merupakan kenangan manis belaka. Saya juga membesar dengan banyak buku-buku cerita Disney sebagai inisiatif mak ayah ingin anak-anak mereka pandai berbahasa Inggeris dan untuk suapan keagamaan, cerita-cerita nabi dan rakan-rakan mereka. Hasil berkat didikan mereka, saya sering mendapat tempat 10 tertinggi pada hujung pembelajaran sekolah rendah dan sekolah rendah agama.

Akan bersambung ke Part 5.

P/S: Terasa lucu pula apabila mendengar semula rakaman tape "sajak sakaratul maut" zaman tahun 90'an tersebut di YouTube. Tidak saya sangka betapa kotornya isi kandungannya, dengan konotasi seksual seperti "mistress", "isteri-isteri muda", "ibu menggoyangkan buah susunya" dan lain-lain lagi. Nasib baik suara lelaki yang menakutkan tersebut mengunakan banyak sound effect bergema dan menjerit melalak kerana kalau tidak, sungguh tidak sesuai untuk pemahaman kanak-kanak sedang membesar. Saya kini tahu bahawa pekerjaan seperti peguam, doktor, jurutera, arkitek dan profesor adalah tidak digalakkan kalau diikutkan pesanan rakaman tape tersebut kerana mereka tidak akan memberi kepada ayahnya doa anak yang soleh :P

Video:
Mesej seksual yang subliminal waktu kematian :P (Trigger Warning kepada sesiapa yang takut pada suara "berhantu").


Renungan Kisah 11 September


Kalau topik ini diperbincangkan, adalah amat mudah untuk terbawa-bawa oleh emosi marah sama ada jika anda seorang muslim atau seorang bukan muslim.

Tetapi jika anda membaca apa yang tertulis di atas, tidakkah anda rasa sedih untuk kedua-dua pihak? Bukan sahaja sahaja banyak kematian berlaku, malah kerana keputusan segelintir dari orang beragama ini hendak membalas dendam atau mendapat ganjaran pahala, sebuah keluarga dari agama yang sama sudah tidak lagi bebas untuk hidup seperti apa yang mereka mahukan kerana mereka juga risaukan keselamatan diri dan anak-anak apabila mahu mempraktikkan agama mereka di khayalak umum.

Jikalau anda yang beragama Islam masih tidak dapat memahami perasaan seorang ateis Melayu, inilah salah satu contoh untuk anda berfikir sejenak dan cuba bayangkan. Bayangkan anda tidak bebas untuk memakai tudung kerana takut dibuli dan diherdik orang lain. Bertambah teruk jika anda risau ada yang mahu membunuh anda kerana ingin membalas dendam atas kekejaman yang bukan anda lakukan.

Begitulah perasaan kebanyakan ateis ex-muslim. Jauh di sudut hati, kami ingin hidup seperti biasa tanpa ada ugutan bunuh, dipulaukan keluarga dan kawan-kawan serta gembira dengan pilihan hidup sendiri. Seperti keluarga muslim di atas, kebanyakan ateis tidak menganggu siapa pun untuk beribadat atau menjalani hidup dengan pilihan masing-masing.

Inilah padahnya apabila satu agama itu diikuti secara literal dan extreme. Kalau diikutkan hati saya, memang mudah untuk saya katakan yang tanpa ajaran hukum bunuh-membunuh atau ganjaran untuk membunuh orang kafir dan beragama lain yang wujud dari quran, kejadian ini tidak akan berlaku. Tetapi dalam logik kecil saya, adalah tidak mungkin untuk semua manusia di muka bumi ini untuk tidak mempercayai tuhan, dan saya tidak percaya pada utopia dalam apa-apa bentuk, sama ada utopia orang beragama seperti Islam, Kristian dan sebagainya, atau utopia falsafah seperti sosialisma, anarkisma dan sebagainya.

Jadi apa yang kita dapat belajar dari insiden 11 September ini adalah sikap fanatik dan kebencian berlebihan membawa kepada lebih lagi kebencian serta kemusnahan. Marilah sama-sama kita belajar untuk cuba bertolak-ansur dalam perbezaan kita dan memahami antara satu sama lain.

Rojak

Memandangkan saya agak stressed hari ini, mari sama-sama kita nikmati video-video buatan Malaysia yang mengandungi lelaki kacak atau leng chai (topless!) dan lihat seorang lagi leng chai dalam percubaan beliau mendaftar untuk perbankan Islam.



Anak seni yang hanya impikan yang terbaik (Part 5)

Memori sewaktu di sekolah Menengah tidak seberapa warna-warni seperti zaman sekolah Rendah. Mungkin ini adalah perkara biasa, tambahan pula hormon mula melonjak dan ketidakselesaan sering berlaku waktu ini. Waktu ini juga saya mula dipaksa untuk memakai tudung, walaupun saya dihantar ke sekolah yang semuanya pelajar perempuan. Kerap-kali saya memberontak dengan tidak memakai tudung waktu Pendidikan Jasmani. Di benak kepala saya, latihan lasak dan fizikal yang menghasilkan peluh di cuaca tropika Malaysia sungguh tidak sesuai apabila diri ditutup litup.

Soalan-soalan logika sebegini sering menjadi punca kenapa masalah sering timbul dalam hidup seharian saya. Saya takkan lupa tentang satu soalan karangan Bahasa Melayu Tingkatan Satu di mana saya dikehendaki membuat penulisan kreatif di mana saya kononnya menghadirkan diri di satu majlis perkahwinan rakan karib saya apabila kami dewasa. Rakan karib saya waktu itu adalah seorang bukan muslim, jadi saya menulis yang saya pergi ke majlis perkahwinannya yang dibuat di dalam gereja. Tidak susah untuk saya berimaginasi demikian kerana banyak drama rancangan TV berbahasa Inggeris menunjukkan perkahwinan di mana pengantin perempuan berpakaian gaun putih, berjalan di sepanjang karpet merah menuju ke altar bersama bakal suaminya untuk bersumpah untuk menjaganya sehidup semati. Tidak terlintas langsung di fikiran saya yang seorang rakan muslim tidak dibenarkan ke gereja untuk majlis perkahwinan seorang rakan Kristian atau seorang muslim tidak dibenarkan menjejakkan kaki di gereja waktu itu.

Karangan saya yang naif itu tidak dikritik oleh guru saya secara langsung kepada saya, tetapi dihantar kepada ibubapa saya. Mungkin kerana ianya adalah memori yang tidak indah atau repressed memory, saya tidak ingat langsung apa yang dikatakan oleh ibubapa saya sewaktu mereka berbincang tentang hal ini. Cuma yang pasti, saya tidak lagi menulis mengikut pendapat sendiri lagi. Keputusan pembelajaran saya secara umumnya juga semakin merosot kerana saya tidak lagi meminati topik-topik pembelajaran di sekolah, kecuali subjek senilukis. Saya sudah mula selesa mengurungkan diri di dalam bilik apabila di rumah dan mendengar lagu-lagu pop rock di radio. Sehari dalam kehidupan seorang remaja yang tipikal.

Saya menganggap diri saya bertuah sedikit kerana belum mengambil minat yang lebih terhadap lelaki "sebenar" waktu remaja kerana dikelilingi oleh perempuan sahaja di sekolah. Gerak-geri saya dalam sehari-hari juga lebih terkongkong dengan kelas tambahan selepas pulang dari sekolah. Lelaki yang wujud dalam hidup saya waktu itu cuma ahli keluarga dan di dalam ruang dunia selebriti sahaja. Poster-poster artis lelaki idaman dari luar negara adalah lebih menarik berbanding dengan cerita-cerita rakan sebaya tentang teman lelaki mereka dari sekolah berhampiran. Ibu saya pula hanya membenarkan saya menjejak ke pusat membeli-belah bersama rakan buat pertama kali (bukan dengan keluarga) sewaktu saya Tingkatan Lima. Mungkin itu merupakan salah satu faktor kenapa saya kurang meminati aktiviti membeli-belah juga.

Disebabkan zaman sekolah Menengah yang merudum, saya sudah mula mengimpikan kehidupan yang lebih menarik seandainya saya belajar lebih tinggi di kolej atau universiti. Saya tidak sabar untuk mendalami subjek-subjek Seni yang diminati seperti yang dapat dilihat di televisyen atau zaman universiti ibubapa saya waktu 70an. Dengan keputusan yang baik dalam subjek Seni, saya diterima masuk ke institut pengajian tinggi Bumiputera yang terkemuka, di mana semua cerita-cerita gembira dan radikal dari ibubapa saya di dalam jurusan Seni di situ dianggap bakal menjadi kenyataan.

Akan bersambung ke Part 6.


Pelangi Itu Indah

Mungkin akan ada dari tetamu-tetamu blog saya yang kecil ini sedar yang saya (akan) sering menyentuh topik LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual dan Trangender). Disini saya ingin menerangkan yang bukan saja golongan agama sahaja yang homofobia atau transfobia (carilah sendiri maksudnya di Google kalau tidak faham), segelintir ateis juga ada yang masih tidak menerima wujudnya rakan-rakan LGBT kerana latar belakang patriaki yang kuat. "Lelaki mesti jadi lelaki" atau "Perempuan tidak boleh membaca komik atau menganggap dirinya geek atau nerd kerana perempuan hanya baca manga Jepun" adalah antara pendapat yang dapat di lihat jika anda rajin memantau suasana budaya pop/popular online.

Namun begitu pemberatan yang saya ingin tekankan adalah terhadap golongan beragama, terutamanya agama Kristian dan Islam yang terang-terangan menidakkan kehidupan sebagai seorang LGBT. Saya akui yang saya juga pernah berjumpa dengan muslim dari Malaysia dan Indonesia yang toleran terhadap rakan-rakan LGBT ini, tetapi penyokongnya adalah begitu kecil. Mereka yang vokal menyokong LGBT sering juga menjadi mangsa ugutan orang beragama yang tidak toleran. Sisters In Islam, sebuah organisasi bukan kerajaan atau NGO Malaysia yang banyak membantu wanita dan golongan LGBT  ini sudah banyak kali diugut dan diganggu oleh pihak-pihak yang suka membenci ini.

Jadi bukan sahaja golongan ateis yang menyokong LGBT ini, tetapi terdapat juga kumpulan beragama Islam yang sudah lebih memahami dan berfikiran terbuka dalam penerimaan teman-teman LGBT. Bahkan ramai golongan LGBT yang saya kenal di Malaysia percaya akan kewujudan tuhan, sembahyang dan mengamalkan hukum asas agama Islam seperti muslim lain. LGBT bukannya wujud kerana pengaruh, atau sifat ingin memberontak tetapi naluri keinginan sendiri sebagaimana anda tertarik dengan pasangan anda dan keselesaan diri sendiri untuk melabelkan jantina sendiri sebagai perempuan, lelaki, tomboy, metrosexual, ditengah-tengah, bercampur-aduk atau selainnya.

Saya kadang-kala cukup hairan atau hanya mampu menggelengkan kepala apabila golongan beragama berbalah atau ada yang bersikap seperti "tuhan" untuk menidakkan dan menghukum orang yang "berbeza" dengan mereka untuk menyembah tuhan yang sama, apa lagi dengan mereka yang beragama lain. Adakah ini lumrah ragam manusia dan asam garam kehidupan?


Maaf kepada sesiapa yang menunggu

Bukanlah sengaja untuk saya melengahkan entri penulisan dalam blog ini, tetapi seperti yang apa yang saya komen dalam blog Mulhid Melayu, saya pada satu detik harus melangkah kebelakang sejenak untuk menimbang semula tujuan saya menulis dalam blog ini. Saya memang tidak bercadang untuk menjadi begitu aktif (tidak mahu memaksa diri juga, kerana pada pendapat saya, banyak benda lebih menarik lagi dalam hidup berbanding dengan hujah kepercayaan dan tidak-kepercayaan). Dan seperti kata Mulhid Melayu, "kita berada pada satu zaman di mana penerimaan sains itu dah terlalu meluas dan bukti-bukti yang agama itu adalah rekaan manusia itu sudah terlalu banyak bagi membenarkan para pencari kebenaran untuk melihat yang agama itu sebagai sesuatu yang meyakinkan". I couldn't have said it better.

Saya ingin berkongsi satu pertemuan dengan salah seorang rakan saya yang juga seorang Melayu atheist. Bezanya antara kami adalah latar-belakang keluarga. Dia membesar dalam keluarga yang langsung tidak menitik-beratkan hal keagamaan, malah menerima/memahami seandainya anak-anak memilih untuk tidak percaya pada tuhan - dengan syarat, mereka hidup dengan budi pekerti yang baik sesama masyarakat. Saya pula membesar dalam keluarga yang pentingkan hal kewajipan dalam agama Islam.

Dia faham kenapa saya dan seperti kebanyakan teman-teman Melayu atheist lain lebih cenderung untuk merasa hampa dan marah kerana membesar dalam keadaan yang agak terkongkong, berbanding dengannya yang boleh saya katakan terlihat jauh lebih tenang dari sudut personalitinya. Cuma perbezaan kepercayaan berbanding dengan kebanyakan orang Melayu lain mula terlihat apabila dia mula menyuarakan pendapatnya.

Di dalam satu forum awam yang membincangkan tentang isu-isu semasa, teman saya ini pernah bangun untuk mempertahankan seorang teman lain yang menyatakan tentang kebebasan beragama. Tetapi kerana hal tersebut, teman saya mula kehilangan beberapa kawan yang sebelum ini tidak pernah membincangkan tentang hal kepercayaan. Atau mungkin mereka tidak mahu berkawan dengan seorang yang secara terang-terangan mengatakan yang semua manusia punya hak untuk memilih agama masing-masing. Manakan tidak, kita begitu suka apabila ada penganut agama Buddha, Hindu, Kristian dan sebagainya meninggalkan agama lama mereka untuk masuk Islam tetapi tidak jikalau sebaliknya.

Semenjak dari itu, teman saya ini lebih cenderung untuk meneruskan hidup seperti biasa tanpa menyentuh hal keagamaan secara terbuka, kecuali apabila ada teman-teman yang ingin berbincang secara peribadi dengannya. Pertemuan dengan teman saya ini membuatkan saya lebih yakin yang manusia merupakan spesis yang sebenarnya dengan semula-jadinya bersifat ingin tahu. Cuma kebanyakan kita membesar dengan sifat ingin tahu itu dicantas dengan lebih cepat dari waktu kecil. Tetapi sama ada sifat ingin tahu itu masih kuat atau mahu dibiarkan mati apabila menjejak dewasa adalah atas daya kekuatan individu itu sendiri.

Saya percaya bukti yang ramai lagi masih ingin tahu walaupun sudah dewasa diyakinkan lagi dengan anda yang membaca penulisan saya ini.

Cukup sekadar yang blog yang tidak seberapa ini menjadi salah satu dari jutaan titik penemuan dan persinggahan buat mereka yang mencari jawapan dan ingin tahu.


Kembali ke Atas