Translate

Lagu Malam Ini #2

Ada banyak nak ulas tentang lagu dan artis ni sebenarnya, tapi sebab banyak kena tolong Mak waktu Raya ni, tak dapat nak tulis panjang buat kali ni. Nanti bila sudah lapang waktu, Ana akan edit dan kupas pendapat. Berikut adalah lagu Raya dari Mimifly bertajuk "Serumpun".

Dan kalau nak menghayati lebih lagi pakaian tradisi Melayu, berikut adalah satu lagi persembahan hebat dari Mimifly yang bertajuk "Angkat".

Lagu Malam Ini #1

Dah lama juga fikir nak buat siri lagu-lagu yang beri inspirasi dan renungan pada Ana, sama ada tentang tuhan, agama atau budaya Melayu itu sendiri. Jadi nak cuba lihat kalau siri Lagu Malam Ini menjadi atau tidak untuk blog yang tak seberapa ini. 

Paling koman pun, mungkin ia boleh berikan sedikit penenang mata dan hati selepas banyak pos yang Ana tulis berbaur negatif.

Lagu untuk siri pertama ni, Ana pilih dari kumpulan Inggeris nama XTC, dengan lagu bertajuk "Dear God" (1987). Walaupun mereka tulis dari sudut pandangan bekas Kristian, tapi liriknya masih boleh dikaitkan dari pandangan Bekas Muslim atau dari agama lain juga.  

Ana sarankan dengar music dengan CC (Closed Caption/Subtitle) dipasangkan supaya boleh lihat liriknya dengan lebih jelas.

Cerminan Hari Tidak Berhijab (No Hijab Day) 2025

Wanita Melayu di Malaysia masih beruntung kerana kita masih ada populasi orang Bukan Muslim di negara kita yang agak besar. Tanpa mereka, sudah lama kesemua wanita Melayu akan diberi tekanan untuk memakai hijab seperti di Iran atau berniqab seperti di Afghanistan.

Setahu saya hanya di Kelantan yang ada undang-undang jelas di mana wanita Melayu kena bertudung, tetapi trend ini dapat dilihat bergerak ke arah negeri-negeri berhampiran seperti Terengganu dan Kedah.

Sayangnya, ramai wanita Malaysia yang menyokong Hari Hijab Sedunia berat kepala untuk melihat yang perasaan wanita yang ingin berhijab di negara Barat dan mendapat tekanan dari orang sekeliling adalah sama seperti tekanan wanita yang tidak ingin berhijab walaupun dipaksa oleh keluarga, negeri atau negara.

Kita sangat serupa kerana inti yang paling penting disini adalah kebebasan wanita untuk benar-benar buat pilihan atas pakaian sendiri. Dan mengapa wanita sahaja yang pakaian mereka dikawal dan diherdik?

Kalau bagi jawapan yang kata untuk lelaki, ya, sebab lelaki nafsu 1 dan akal 9 kan? Cuba tengok beza cara lelaki hormat wanita di negara yang di mana hijab bukan budaya mereka. Habis cerita. Eh, jap, ada cerita lagi.

Beberapa hari lepas saya berdebat dengan seorang Bekas Muslim yang lain kerana katanya Ketua Hakim Negara Malaysia yang merupakan seorang wanita berhijab, tidak mengikut apa yang sunnah katakan kerana wanita Muslim tidak dibenarkan berkuasa lebih dari lelaki.

Hakim itu telah berikan jawapan yang cukup baik, tapi saya cuma ingin tampal semula jawapan yang saya beri pada saudara Bekas Muslim itu kelmarin.

"Takpe, asalkan dia tak paksa perempuan lain pakai tudung, aku rasa ini masih ke arah sekularisma. Yang selalu ada penyakit nak kontrol ni bila lelaki Melayu Islam yang ada power.

Aku duduk di jalan tengah. Jangan kita jadi macam negara Barat yang sekarang terlampau takut nak soal permasalahan dalam Islam, sampai Islam dah ganggu keamanan negara mereka sendiri. Lepas tu menang pulak kat geng-geng nazi sebab tiada yang lain berani tunjuk yang masalah tu adalah dalam ajaran Islam itu sendiri, bukan orang Muslim atau orang berkulit coklat.

Jadi dalam konteks ni, saya sokong orang Muslim yang melawan ajaran Islam yang kuno. Saya support Sisters In Islam walaupun saya murtad dan ada benda yang saya tak setuju dengan mereka. Sebab mereka berani soal tentang hukum Islam yang kejam terhadap perempuan. Kadang-kadang kena ada sokongan banyak hala juga, kena sentiasa ingat, adakah ini sejajar dengan sekularima?

Aku tak kenal hakim ni, jadi tak tau kalau dia ada kontroversi ke tak. Tapi kalau Azhar Idrus pun tak berani soal, aku support sebab ini tandanya wanita masih ada kuasa di Malaysia. Tak macam di Afghan atau ramai wanita Muslim di negara Barat yang masih takut, terlampau patuh pada suami dan akan kena bunuh dengan lelaki kalau cuba berkuasa lebih dari lelaki. Jangan cerita pasal kuasa, pi keluar rumah walaupun kat negara Barat dan kawan dengan orang Bukan Muslim pun depa dah nak "honor killing". Femicide semua ni.

Ada dengar yang hakim perempuan Afghan pernah dulu hukum beberapa lelaki dalam Taliban masa Amerika memerintah, lepas Amerika terbang balik, terus hakim tu dibunuh kejam. Harap saudara faham inti yang aku cuba sampaikan."

Bacaan lanjut:

https://themuslimtimes.info/2018/11/10/malaysia-why-we-need-a-nohijabday/

https://freethinker.co.uk/2025/01/no-hijab-day-1-february-confronting-misogyny/

Bulan Kesedaran Kewujudan Bekas Muslim 2024

Sempena "Bulan Kesedaran Kewujudan Bekas Muslim", saya akan salin dan tampal semula ulasan saya dari laman forum Reddit. Saya agak kerap menulis di sana sebab ada kelebihan komunikasi dua hala dengan para Muslim dan Bukan/Bekas Muslim.

Saya juga rasa yang penulisan ini boleh menjadi jawapan saya secara tidak langsung kepada nahas yang berlaku di Magdeburg, Jerman baru-baru ini. Banyak teori di Internet tentang pembunuh yang berasal dari negara Saudi itu, tetapi yang saya pasti, jika benar dia seorang ateis, "ateism" tidak ada buku pegangan yang menggalakkan seseorang itu membunuh atas nama "ketidakpercayaan kepada tuhan". Pembunuh yang dikatakan ateis boleh rata-rata dikatakan ada penyakit mental dan emosi terganggu yang belum sempat atau dapat dipulihkan. Sama juga seperti pembunuh yang beragama Islam atau yang beragama lain. Cuma kebanyakan agama ada motif yang lebih jelas kerana penganutnya digalakkan untuk membenci orang yang tidak seagama, dan ia memberi motif kepada para extremis melupakan moraliti kemanusiaan untuk membunuh orang lain. 

Cuma tak ramai penganut agama berani untuk katakan yang pembunuh seagama mereka itu ikut buku agama mereka bulat-bulat. Mereka cuma kata "itu bukan pengikut agama kami yang sebenar". Nah saya beri jawapan yang lebih tepat, mereka sudah ada penyakit mental dan emosi terganggu yang belum sempat atau dapat dipulihkan, tapi buku agama mereka buatkan niat pembunuhan mereka kelihatan baik di sisi agama. Padahal kalau seorang ateis membunuh, ateis lain akan kecam pembunuh ateis itu juga, sama seperti pembunuh-pembunuh yang lain.

Kami takkan kata "dia bukan ateis sebenar" sebab jika kepercayaan pada Tuhan masih membuat segelintir orang beragama untuk membunuh, maka tidak percayakan tuhan juga tidak buatkan seseorang itu membunuh. Ianya semua bermula dari jatidiri moraliti seseorang yang tidak kukuh dan tidak berperikemanusian, bercampur aduk dengan motif pembunuhan, faktor psikologi dan kehidupan sosial seseorang yang negatif, serta tiada perasaan kesefahaman atau empati sesama manusia.

Berikut adalah sebahagian dari ulasan dari seorang Muslim Malaysia di Reddit yang mangatakan seorang ateis Melayu tidak patut tinggalkan agama Islam yang dipaksa dari lahir kerana untuk Bekas Muslim itu, dia pernah dibuli teruk oleh guru-guru dan pelajar Muslim lain waktu di sekolah menengahnya.

Teman Muslim Malaysia itu lupa yang Bekas Muslim tinggalkan Islam kerana pelbagai sebab berbeza. Sama seperti ramai orang beragama Islam yang pelbagai fahaman, asal-usul kepercayaan dan latar belakang.

Satu manusia tidak melambangkan agama, bangsa. Banyak lagi orang Muslim yang baik diluar sana. Jangan menilai satu agama dan bangsa dengan rakan sekolah kamu je.
Kalau ayat di atas memang dipegang oleh orang Muslim, ini juga boleh diletakkan pada semua kaum yang tidak disukai dalam al-Quran, contoh Yahudi dan golongan yang tidak percayakan Allah.

Ada Yahudi jahat, ada Yahudi baik, ada ateis jahat, ada ateis yang baik. Saya pun rasa yang sama tentang orang Muslim. Ada Muslim jahat, ada Muslim baik. Ni belum lagi bangsa bukan Islam yang berbilang agama kat Malaysia ni. Yang saya rasa hampa, agama juga buatkan sesetengah orang Muslim yang baik membenci tanpa sebab, hanya kerana Quran suruh. Walaupun ada yang tak pernah jumpa pun orang Yahudi dalam hidupnya. Padahal kalau Allah wujud, bukankah dia juga yang cipta orang Yahudi? Dia juga yang cipta babi dan anjing?

Jadi bagi saya, jangan menilai suatu kaum atau bangsa hanya kerana buku zaman dahulu yang berbeza dengan zaman sekarang, dan juga buku yang dikhaskan untuk rakyat Arab sahaja. Yang cipta al-Quran tak tau pun ada buah durian, ada negara cuaca yang lelaki dan wanita panas berpeluh belemoih kalau pakai tudung atau topi kain macam Pak Arab tu sebab depa nak elak habuk pasir di negara panas kering, bukan di negara tropika, dan dalam Quran taktau ada negara matahari tak terbenam bila tiba suatu musim tiap tahun dan payah nak tau bila nak berbuka puasa, apatah lagi solat 5 waktu.

Dalam Quran tu pun tak kenal agama bukan Islam yang wujud kat Malaysia ni, apatah lagi kat negara Asia yang besaq ni. Quran cuma tau agama bukan Islam dekat dengan negara Arab je. Agama Hindu ramai orang Melayu dulu amalkan sebelum Islam sampai dengan bot. Kalau tak, takdelah kita ada adat bersanding berinai dulu-dulu dan bahasa Melayu yang banyak pakai Sanskrit ("Agama" juga adalah dari bahasa Sanskrit). Kalau Tanah Melayu terkena dengan bot Sepanyol macam kat Filipina, dah lama kita jadi negara Kristian tau.

Jadi, Islam di Malaysia ni sama je macam yang menjajah di Filipina tu. Bezanya Islam masuk pegang minda Sultan-sultan dahulu, baru menjajah kuasa dan undang-undang. Kemudian, penjajah British di Malaya pun tiru taktik sama. Ada penjajah lain pula menjajah ekonomi dulu, lepas tu baru jajah undang-undang. Ni belum cerita lagi asal-usul agama-agama besar dunia tersebar luas banyak bermula dengan pertumpahan darah. Kita nak pilih apa, akhirnya, terpulanglah atas pilihan sendiri. Dah ada buku dan Internet kan la ni. Nak jadi Islam, Islamlah engkau. Nak jadi agama lain, jadilah engkau.

Nak jadi ateis, rasanya tu bukan pilihan. Kebanyakan orang ateis dah cari bermacam-macam agama untuk dibandingkan dengan agama yang mereka dipaksa dari lahir, tapi depa cuma nampak tuhan tu tak wujud. Sains pun makin maju dan beri jawapan yang lebih meyakinkan dan bersesuaian dengan perkembangan zaman yang nak masuk 2025 tahun selepas kelahiran nabi Isa ni. Islam pula baru nak cecah 1446 tahun dan dinosaur dah pupus berjuta-juta tahun dulu dan la ni minyak sisa bangkai depa pun dah makin berkurangan sebab manusia moden suka pakai sampai kontang.

"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)."

Penulisan dari beberapa Bekas-bekas Muslim lain tentang mengapa mereka tinggalkan Islam dan sejak bila boleh dibaca disini.

Notis: Susunan dan tarikh sebenar penulisan dalam blog ini adalah tidak tepat, terbalik dan sedikit janggal, dengan pos terbaru di halaman paling depan, terus sejurus itu diikuti oleh pos pertama blog ini. Pos di penghujung blog pula merupakan penulisan kedua terakhir Ana.

Ini kerana Ana ingin pengunjung baru blog dapat membaca pos terawal Ana di halaman pertama tanpa perlu pergi ke belakang. Untuk pembaca setia pula, penulisan-penulisan terbaru boleh didapati disini. Maaf atas kekeliruan dan kesulitan. 

Untuk setiap penutup, akan ada permulaan baru (disclaimer).


Saya sangat gembira apabila buat pertama kalinya terjumpa ramai saudari dan saudara Melayu yang berani untuk meluahkan buah fikiran dan pengalaman mereka sebagai seorang ateis. Saya sungguh teruja dan terdetik untuk melakukan apa yang mereka berani buat, walaupun tidak sampai ke tahap menunjukkan identiti saya atas sebab keselamatan peribadi dan juga dengan harapan untuk tidak dipulaukan oleh keluarga serta rakan-rakan yang tersayang.

Atas sebab inilah saya perlu menulis, kerana terlampau banyak halangan dan cabaran yang selalu ditempuh sendirian. Saya tidak mahu lagi adanya seorang insan Melayu ateis diluar sana berasa terpencil atau seorang diri, seperti apa yang pernah saya rasai sebelum ini.

Saya hulurkan salam persahabatan dan keamanan. Tujuan saya disini bukan untuk bermusuhan dengan orang Islam kerana saya tidak bencikan muslim yang penyabar, understanding, jujur dan juga yang bersifat ingin tahu. Perbincangan adalah amat dialu-alukan, selagi ia masih bertona positif.

Terlampau banyak reaksi negatif apabila topik ateism diajukan tetapi saya mahu terangkan disini secara jelas yang:

1) Saya bukannya ingin menarik anda untuk menjadi seorang ateis seperti saya sekiranya anda seorang muslim atau beragama lain. Ibu-bapa, keluarga dan sahabat-sahabat saya hampir kebanyakannya beragama Islam, tidak pula saya ada cubaan untuk menjadikan mereka sebagai seorang ateis. Jadi jika anda menulis dengan tujuan utama berdakwah, "menarik saya ke jalan benar", mengutuk ketidakpecayaan saya, anda dipersilakan untuk meninggalkan blog ini. Ulasan-ulasan anda juga akan dipadam untuk tidak memalukan kaum agama anda sendiri.

2) Mungkin banyak penulisan saya yang akan datang berbaur dengan bunyi hampa atau marah. Cuba anda bayangkan apabila sebuah cinta yang dipaksa sejak lahir, dibesarkan dengan kepercayaan yang anda sangat disayangi, tetapi bila membesar, nampak sendiri bukti kekejaman hasil dari "kasih sayang" itu, tidakkah anda berasa hampa dan marah juga? Untuk memudahkan cerita, bayangkan anda baru berpisah dengan cinta pertama anda yang seorang kaki pukul. Pastinya, anda bukan saja marah pada si kaki pukul tersebut, anda akan marah pada diri sendiri, kenapa anda tidak nampak rupa sebenar cinta lama anda. Anda akan menceritakan pengalaman buruk cinta lama anda kepada rakan-rakan anda, dengan harapan mereka memahami dan tidak akan terjebak dalam percintaan sekejam itu. Tapi pastinya, suatu hari nanti, perasaan hampa dan marah itu akan hilang, ketenangan akan tiba dan cinta baru bakal bermula.

3) "Oh, kami tak boleh marah pasal ketidakpercayaan kamu, tapi kamu boleh mengutuk tuhan kami dalam blog ini. Itu sudah tidak adil!" - mungkin anda akan terfikir sebegini. Anda hadir untuk membaca blog saya sebagai tetamu. Jika kamu tidak suka membaca penulisan saya dan membuat kurang ajar di "rumah" saya, anda dipersilakan untuk pulang dan sila melepaskan marah di "rumah" anda sendiri. Tulislah blog untuk mengutuk ateis-ateis di blog anda sendiri. Di rumah tuannya sendiri, tak kisahlah kalau tuannya mahu marah, melepaskan geram dan sebagainya.

Sekian, salam perkenalan :)

Kembali ke Atas